"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kenyataan Media - Kredabiliti Calon BN Tercemar.

Calon Umno/Barisan Nasional bagi DUN N.05 Tenang telah berjanji kepada para pengundi DUN Tenang untuk berkhidmat kepada penduduk. Beliau berjanji akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua tanpa mengira latar belakang dan kepercayaan," (rujuk Bernama 19/1/2011)

Beliau juga dilaporkan berkata “ Isu tanah adalah antara masalah utama yang perlu diberi perhatian di Labis. Sebagai bekas penolong pegawai daerah kecil Rengit, Batu Pahat dan pernah bertugas sebagai Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat, isu-isu berkaitan pemilikan dan urusan permohonan tanah sering ditimbulkan oleh masyarakat setempat, terutama oleh peneroka Felda dan Felcra”. ( lihat Bernama 20/1/2011 )

PAS percaya sebelum calon Umno ingin berjanji kepada para pengundi DUN Tenang adalah penting calon tersebut bersikap telus atau dilihat bersikap telus dengan tidak menyembunyikan apa yang beliau telah lakukan kepada seorang rakyat yang lemah,  daif dan tidak berdosa semasa beliau diamanahkan menjadi Pentadbir Tanah Daerah Segamat.

PAS percaya bahawa sebelum mana-mana calon dari mana-mana parti politik ingin meminta rakyat memilih mereka dalam mana-mana pilihanraya adalah penting calon tersebut mengamalkan budaya ketelusan ( transparency ) kerana tanpa ketelusan sudah tentu rakyat tidak akan berupaya untuk membuat satu keputusan yang bermaklumat (informed decision ) dalam memilih calon yang mereka ingin untuk mewakili mereka.

Sukacita dimaklumkan bahawa apa yang PAS ingin dedahkan dalam kenyataan akhbar ini tidak sama sekali tergolong kepada satu serangan peribadi calon Umno sebaliknya apa yang kami ingin dedahkan adalah menyentuh isu integriti dan kelayakan calon Umno bagi mewakili rakyat di DUN Tenang..

Bertolak dari senario di atas, adalah amat malang Umno mahupun calon Umno telah gagal berkongsi dengan rakyat di DUN Tenang tentang fakta-fakta berikut:-

a.       Bukankah kerana kecuaian dan kelalaian calon Umno yang pernah diamanahkan menjawat jawatan Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat, Pentadbir Tanah Daerah Segamat telah disaman pada tahun 2004 oleh Mansor Bin Mohamad di Mahkamah Tinggi Muar melalui Saman Pemula No : 24 ( L ) – 674-2004 berkaitan kes siasatan hartanah HS ( M ) 535, Lot 2091, Mukim Jabi, Daerah Segamat yang dijalankan/dikendalikan oleh calon Umno pada 18/9/2003.

b.      Bukankah kerana kecuaian dan kelalaian calon Umno selaku Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat telah mengakibatkan satu Perintah Jualan ke atas hartanah Mansor bin Mohamad telah dibuat oleh beliau  pada 18/9/2003.

c.       Bukankah kerana kecuaian dan kelalaian calon Umno selaku Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat mengakibatkan hartanah Encik Mansor Bin Mohamad telah dengan secara tidak sah dilelong pada 1/12/2003 dengan harga RM 70,000-00.

d.      Bukankah calon Umno selaku Penolong Pentadbir Tanah Segamat telah dengan secara cuai mengeluarkan Perintah Jualan hartanah Mansor bin Mohamad tersebut tanpa pengetahuan Mansor Bin Mohamad yang mengakibatkan beliau menjadi mangsa kepada satu kezaliman iaitu hartanah beliau dilelong kepada pihak ketiga.tanpa pengetahuan beliau.

e.       Bukankah kerana kecuaian dan kelalaian calon Umno tersebut selaku Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat telah mengakibatkan nama baik dan intergriti Pejabat Pentadbir Tanah Segamat terjejas dengan teruk sekaligus menghakis keyakinan rakyat kepada ketelusan Pejabat Tanah Daerah Segamat mengurus dan mengendalikan hartanah rakyat. .

f.        Bukankah Yang Arif Hakim Dato’ Asmadi Bin Haji Asnawi, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Muar telah pada 29/1/2008 memutuskan membenarkan tuntutan Mansor Bin Mohamad ke atas Pentadbir Tanah Daerah Segamat dengan kos akibat dari kecuaian dan kelalaian mengedalikan isu tersebut .

Di atas fakta-fakta yang kami nyatakan di atas persoalan besar timbul mengapakah calon yang telah dibuktikan oleh Mahkamah cuai dan lalai ( reckless and negligent ) dalam melaksanakan tugas awam yang diamanahkan kepada beliau masih lagi dicalonkan oleh Umno bagi mewakili rakyat/pengundi DUN Tenang. Tidakkah tindakan Umno ini menunjukkan bahawa Umno tidak menghiraukan isu integriti dan kompetensi seorang calon bagi mewakili rakyat atau pengundi DUN Tenang.

Pendedahan ini menunjukkan bahawa sejak dari awal Umno memang dengan sengaja menyembunyikan fakta –fakta yang kami bentangkan di atas kerana Umno sedar rakyat di DUN Tenang akan menolak calon Umno tersebut jika fakta-fakta ini diketahui oleh rakyat di DUN Tenang.

Berbekalkan track record buruk calon Umno tersebut  kami sesungguhnya  percaya  bahawa rakyat di DUN Tenang tidak akan sama sekali bersedia  ditipu dengah janji manis calon Umno bahawa beliau bersedia menyelesaikan permasalahan tanah di Labis sedangkan fakta dan keterangan menunjukkan secara jelas bahawa tanah rakyat yang lemah dan tidak berdosa telah dilelong dengan secara tidak sah oleh beliau kerana kecuaian  kelemahan dan ketidakcekapan  beliau menjalankan tugasnya sebagai Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat.

Bagi rakyat di Dun Tenang kami menyeru janganlah kita gadaikan maruah  dan  masa depan kita dengan memilih calon yang telah dibuktikan Mahkamah menganiayai rakyat yang lemah dan tidak berdosa.   

Sidang Akhbar PAS PRK N.05 Tenang

Hj Dzulkefly Ahmad,
Timb.Pesuruhjaya PAS Johor
MerangkapPengarah Operasi PRK N.05 Tenang
25 Jan. 2011
-tranungkite-

Tiada ulasan: