KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin menuntut kerajaan untuk melaksanakan dasar dan menggubal akta-akta yang lebih bersifat sensitif dan adil gender kepada kaum wanita.
Berucap pada perbahasan di Dewan Rakyat hari ini, Zuraida berkata banyak peristiwa dan tragedi yang menjadikan kaum wanita sebagai mangsa termasuk di kalangan lelaki yang berpangkat dan berkedudukan.
“Pelaksanaan undang-undang ini perlu untuk menjamin hak wanita. Kita tidak mahu ada kes penganiayaan dan penghinaan terhadap wanita.
“Kita tidak mahu pelayan wanita diraba, kita tidak mahu ada pembantu rumah yang dirogol dan kita tidak mahu ada kes pembunuhan terhadap wanita menggunakan bahan letupan C4,” kata Zuraida yang kemudian diganggu beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).
Terdahulu, Zuraida memaklumkan Dewan Rakyat dengan merujuk kepada rekod polis bahawa terdapat 9,816 kes keganasan terhadap wanita yang belum diselesaikan sehingga September 2010.
“Sehingga hari ini, Akta Gangguan Seksual belum diluluskan. Kita mahu kerajaan untuk melaksanakan pindaan dan menggubal akta-akta baru yang melindungi kaum wanita dari diskriminasi.
“Begitu juga dengan takrif pencabulan seksual terhadap wanita masih tidak dispesifikasi,” katanya.
Zuraida berkata, beberapa undang-undang yang melibatkan wanita secara langsung, perlu dilaksanakan tanpa wujud pertindihan kepentingan dan berlaku adil terhadap kaum wanita.
Beliau merujuk kepada Akta Keganasan Rumah Tangga (1998), Undang-undang Keluarga Islam (2005) dan Akta Anti Pemerdagangan Orang (2007).
Zuraida juga menuntut kerajaan menggazetkan 8 Mac sebagai cuti umum sempena Hari Wanita.
“Komposisi wanita di negara ini melebihi 50 peratus. Justeru, posisi wanita wajar diberi keutamaan. Beberapa negara seperti China, Rusia dan Bulgaria meraikan Hari Wanita sebagai cuti umum.
“Malaysia juga perlu menuruti langkah ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan