"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tahyul: PAS mahu libatkan ahli agama tapis filem

Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 15 Mac: PAS mahu ahli yang mahir hukum hakam agama, dilibatkan sama dalam Lembaga Penapis Filem (LPF) bagi memastikan filem yang mahu ditayangkan tiada unsur yang boleh merosakan akidah.

Perkara itu dilontarkan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) sewaktu mencelah perbahasan Titah Diraja oleh Datuk Ismail Kassim (BN-Arau).

Ismail yang turut bersetuju dengan cadangan itu berkata, bukan sahaja filem yang mahu ditayangkan ditapis oleh LPF, tetapi juga perlu melepasi tapisan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Semalam dalam sesi soal jawab lisan, Siti Zailah meminta Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan untuk menyatakan mengapa filem yang ditayangkan melalui televisyen Malaysia banyak berunsur tahyul, khurafat serta ganas yang memberi kesan negatif kepada penonton remaja.

Beliau juga bertanya sejauh mana penguatkuasaan dibuat pihak kementerian.

Timbalan Menteri, Datuk Joseph Salang Gandum ketika menjawab soalan itu berkata, rancangan berunsur tahyul, khurafat, seram dan ganas yang ada disiarkan hanya mengandungi kadar minima unsur-unsur tersebut dan mempunyai unsur pengajaran di pengakhiran cerita.

Kerajaan juga katanya memastikan kandungan mematuhi Akta komunikasi dan multimedia Malaysia 1998 (AKM'98) dan ditapis pihak LPF.

Isu tayangan filem dan cerita berunsur tahyul sebelum ini menjadi perdebatan hangat ekoran ianya banyak ditayangkan sama ada di stesen televisyen kerajaan mahupun swasta sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ekoran itu banyak pihak mahu kerajaan meneliti semula penapisan yang dibuat kerana ada di antara filem itu menonjolkan amalan syirik yang boleh menjejaskan akidah umat Islam.

Tiada ulasan: