Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 16 Mac: Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali mendakwa Jabatan Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menyalahgunakan tanah wakaf apabila membiarkan Umno Bahagian Titiwangsa menggunakannya sebagai bilik gerakan.
Lo' Lo' berkata, sebagai tanah wakaf yang diamanahkan kepada Jawi, kementerian berkaitan tidak seharusnya membiarkan perkara itu berlaku kerana ianya satu amanah kepada Jawi apatah lagi bil air dan elektrik dibiayai oleh Jawi.
Menurutnya, tanah yang terletak di Datuk Keramat, Kuala Lumpur itu dahulunya digunakan oleh Jabatan Pendaftaran Negara namun diberikan kepada Umno Titiwangsa beberapa tahun dahulu.
"Saya ingin dapatkan penjelasan daripada menteri yang menjaga hal ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri, ada satu tanah di Keramat yang dulunya pernah menjadi pejabat pendaftaran dan saya difahamkan tanah itu kepunyaan Jawi dan kemungkinan besar adalah tanah wakaf.
"Saya difahamkan Umno tak bayar sewa sedangkan kalau ini adalah tanah wakaf ia adalah satu amanah kepada Jawi untuk memastikan untuk dapat sewaan. Air dan elektrik dibayar oleh Jawi," kata beliau sewaktu membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menambah, perkara itu pernah diadukan kepada Jawi tetapi pihak Jawi tidak melakukan apa-apa tindakan.
"Saya pernah bangkitkan kepada pengarah Jawi dan Menteri yang bertanggungjawab. Mereka kata apa salahnya mereka (Umno) guna, tak apalah sesama Islam," katanya.
Sementara itu, beliau turut meminta Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar membangunkan pasar Chow Kit yang sudah usang.
"Saya mohon kerajaan buktikan kepada rakyat dengan bangunkan pasar Chow Kit. Pasar Chow Kit itu daripada dahulu macam itulah rupanya.
"Kalau jumlah RM20 juta boleh diberi kepada Masjid Jamek saya minta jumlah saya diberi untuk pembangunan Chow Kit.
"Buktikan kalau serius nak bangunkan kawasan perniagaan, bangunkan Chow Kit, jangan sampai orang nampak seperti pasar koboi," katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan