"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas Adun Salor kembali ke rahmatullah

KOTA BHARU, 14 Mac: PAS Kelantan kehilangan seorang lagi tokoh apabila bekas Adun Salor, Buni Amin Hamzah, 55, meninggal dunia petang Jumaat lalu.

Allahyarham menjadi wakil rakyat Dun berkenaan selama dua penggal iaitu pada 1999 dan 2004, difahamkan meninggal dunia secara mengejut ketika berada di Jertih, Besut.

Beliau juga merupakan bekas Timbalan Yang Dipertua PAS Kubang Kerian dan pernah mengetuai Dewan Pemuda PAS di Nilam Puri.

Dilahirkan di Kampung Bagan Bawah, Pulai Chondong. Mendapat pendidikan tinggi di Universiti Malaya dan pernah berkhidmat sebagai pegawai Fama pada 1980 hingga 1999.

Ketika berkhidmat sebagai wakil rakyat beliau begitu petah membahas semasa persidangan Dewan Undangan Negeri. Beliau mampu mengetengahkan beberapa istilah dalam bahasa asing berkaitan isu tertentu.

Malah ketika kerajaan PAS Kelantan agak genting kerana hanya kelebihan satu kerusi berbanding Barisan Nasional (BN) pada 2004-2008, Allahyarham berjaya menyelamatkan kerajaan.

Arwah pernah disebut pihak lawan akan meninggalkan PAS berikutan ada masalah tertentu, namun beliau tetap istiqomah dalam perjuangan sehingga meranapkan impian Umno.

Solat ke atas jenazahnya diadakan pada pagi Sabtu lalu diimamkan Ustaz Hussin Ibrahim dari Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas. Kini jasadnya disemandikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Larak. Arwah meninggal dua balu.

Turut menziarahi jenazahnya termasuk Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan pemimpin-pemimpin PAS serta pegawai kerajaan.

Naib Yang Dipertua PAS Kubang Kerian, Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah berkata, kepulangan Buni Amin ke rahmatullah merupakan kehilangan besar kepada PAS Kelantan.

Katanya, arwah mempunyai jasa yang besar sehingga berjaya menyelamatkan kerajaan PAS ketika suasana genting pada penggal lalu.

Semoga rohnya dicucuri rahmat dan berada bersama golongan yang beriman.
-harakahdaily-

Tiada ulasan: