"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes curi: 13 termasuk anggota polis ditahan


KUALA TERENGGANU: Polis menahan 13 orang termasuk seorang Lans Koperal polis kerana dipercayai terlibat dalam sindiket mencuri kereta untuk diambil bahagian tertentu dan dijual sebagai alat ganti.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustafa berkata, hasil serbuan di beberapa buah bengkel kereta dan rumah orang perseorangan pada 8 Mac lepas, seramai 11 orang berjaya ditahan.
“Pada awalnya kita tahan 11 orang dan semalam kita menahan dua orang lagi termasuk seorang anggota polis berpangkat L/Koperal yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Marang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya, dalam serbuan itu polis turut merampas 10 buah kereta, selain menemui komponen kereta seperti pintu, enjin, nombor casis, badan kereta serta peralatan yang digunakan untuk memotong kereta.
Beliau berkata, mereka yang ditahan berumur antara 30 hingga 40 tahun dan kebanyakan mereka bekerja sebagai mekanik di bengkel yang tidak mempunyai lesen perniagaan.
Manakala anggota polis berumur 43 tahun itu yang ditahan di Marang malam tadi sudah berkhidmat dengan polis sejak 21 tahun lalu dan suspek telah diserahkan kepada polis Subang Jaya berhubung kes kecurian kereta di sana.
-Bernama-

Tiada ulasan: