KUALA LUMPUR 17 MAC : Ummi Hafilda Ali hari ini memfailkan saman fitnah RM100 juta terhadap ahli perniagaan Nor Azman Abdullah Baginda Minda dan Malaysiakini.
Saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang ini.
Ummi mendakwa sebuah artikel yang disiarkan dalam Malaysiakini pada hari Selasa, yang memetik Baginda sebagai berkata beliau akan mendedahkan dakwaan salahlakunya.
Ummi juga memohon injunksi terhadap Baginda dan Malaysiakini daripada mengulang atau menyiarkan lagi kenyataan-kenyataan yang memfitnahnya.
Bercakap kepada pemberita selepas memfailkan saman tersebut, Ummi berkata Baginda telah mencemarkan reputasinya ekoran perbicaraan kes liwat pertama terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.
Ummi yang merupakan saksi utama dalam perbicaraan itu, mendakwa Baginda telah digunakan oleh pihak peguambela untuk memberi keterangan bagi mencabar kredibilitinya.
Ummi juga mendakwa bahawa Baginda hanya menjadi alat yang digunakan oleh Anwar untuk memfitnahnya, sambil menegaskan bahawa PAS dan PKR menggunakan perkara itu untuk kepentingan mereka sendiri.
Katanya, dia mengambil tindakan undang-undang itu bukan kerana takutkan Baginda berceramah mengulangi dakwaan fitnah terhadapnya, tetapi ia demi menjaga reputasi dan integritinya.
-malaysiakini-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan