"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Utusan Ingkar Arahan Kementerian, Teruskan Siasatan Dalaman Hatta Wahari


KUALA LUMPUR, 1 MAC: Presiden Kesatuan Wartawan Nasional (NUJ), Hatta Wahari mendakwa Utusan Malaysia engkar arahan tangguh siasatan dalaman daripada Kementerian Sumber Manusia dan tetap meneruskan siasatan dalaman terhadap beliau hari ini.

Beliau yang ditemui di perkarangan Pusat Latihan Utusan berkata demikian kerana petang semalam, beliau serta wakil Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC) telah diberi jaminan oleh menteri di kementerian tersebut bahawa siasatan dalaman akan ditangguhkan.

"Dalam pertemuan itu, Datuk S Subramanian telah mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Perusahaan, Tuan Haji Yunus kalau tak silap saya untuk mengarahkan Utusan menangguhkan siasatan dalaman ini malangnya arahan dari Kementerian Sumber Manusia tidak dipatuhi oleh Utusan dan sekarang meneruskan siasatan dalaman," ujar beliau yang masih dalam penggantungan dari tugasnya sebagai wartawan kanan akhbar tersebut.

Ditanya berkenaan perjalanan siasatan hari ini, beliau menjelaskan Ketua Pengarang Utusan, Datuk Aziz Ishak dipanggil oleh pendakwaraya bagi memberikan keterangannya terhadap beliau.

Katanya lagi, hanya selepas ini pihak Utusan akan memutuskan samada beliau akan diberi peluang untuk menyoal balas saksi tersebut bagi membersihkan tuduhan yang dilemparkan ke atasnya.

Beliau turut menyuarakan kekesalan kerana pendakwaraya dilihat cuba mempertikaikan kesetiaan beliau sebagai wartawan Utusan tanpa mengambil kira jawatan beliau sebagai Presiden NUJ.

"Mereka menuduh saya tidak punyai kesetiaan, aspirasi dan bermacam lagi tuduhan liar terhadap saya sebagai seorang wartawan. Selama saya bekerja di Utusan Malaysia, saya tidak pernah membuat kenyataan sebelum ini. Saya dilantik sebagai Pengerusi NUJ pada 17 September 2010, sebelum itu saya tidak pernah membuat kenyataan yang berkait dengan syarikat," tegas beliau.
-tvsnews-

Tiada ulasan: