"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemandu teksi mati dengan 2 kesan tembakan

SANDAKAN – Seorang pemandu teksi ditemui mati dengan dua kesan tembakan di tapak pembinaan Universiti Malaysia Sabah di Batu 10 Jalan Sungai Batang semalam.
Mangsa dikenali sebagai Junaidi Saman, 53, yang mati akibat ditembak di bawah dagu dan bawah kanan mulutnya dipercayai menggunakan pistol jenis kaliber .45.
Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Rowell Marong berkata polis menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 7 malam selepas seorang pengawal keselamatan di tapak pembinaan itu menemui mayat mangsa yang dalam keadaan tertiarap di tepi sebuah teksi.
Siasatan di tempat kejadian menemui dua kelongsong peluru dipercayai daripada pistol jenis kaliber .45 dan mangsa dipercayai ditembak dari jarak dekat, katanya ketika ditemui di Balai Polis Bandar Sandakan di sini hari ini.
Beliau berkata motif pembunuhan belum dapat dikenal pasti dan pihaknya akan menjalankan siasatan dari semua sudut terutama motif dendam.
Rowell berkata mangsa dipercayai dibunuh tidak lama sebelum mayatnya ditemui kerana ada pengawal keselamatan di tapak pembinaan itu melihat sebuah teksi masuk ke kawasan itu kira-kira pukul 6 petang.
Mangsa ditembak di luar teksinya kerana tiada kesan darah serta pergelutan di dalam teksi dan polis mengesyaki terdapat lebih daripada seorang suspek terlibat dalam pembunuhan itu, katanya.
Beliau berkata operasi memburu suspek sedang giat dilakukan dan bedah siasat terhadap mayat mangsa akan dilakukan esok. 
-Bernama-

Tiada ulasan: