Aspan Alias
Jika benar kumpulan Muhyiddin yang disokong oleh pihak yang berpengaruh dalam UMNO untuk mengenepikan Najib sebelum pilihanraya ia sudah terlambat dan tidak mempunyai masa lagi. Najib pula sepatutnya menumpukan masa dan perhatian beliau terhadap lawan beliau di dalam partinya sendiri. Saya selalu berkata musuh Najib sebenarnya bukannya parti pembangkang tetapi musuh beliau yang lebih besar ialah dari dalam UMNO itu sendiri.
Bagi Najib menyalahkan pembangkang yang menjadikan isu lawatannya ke Gaza sebagai lawatan yang membuang masa dan ‘counter productive’ jika dipandang dari sudut hendak menaikkan imej BN dalam pilihanraya nanti itu adalah tidak tepat. Ianya diperbesarkan oleh mereka dalam UMNO sendiri. Anwar Ibrahim bukan orangnya yang membesarkan isu itu.
Yang menjadikan isu tentang lawatan itu adalah Presiden Palestin sendiri yang menegur Najib yang tidak betul cara melakukan lawatan ke Gaza itu kerana ia dilihat seperti masuk campur di dalam hal ehwal Palestin itu. Mahmud Abbas telah menempelak Najib kerana Najib menampakkan dirinya sebagai memihak kepada satu dari dua pihak Palestin yang berbeza itu.
Mahmud Abbas adalah Presiden yang diletakkan oleh masyarakat antarabangsa sedangkan Hamas merupakan pihak yang memenangi pilihanraya tetapi tidak diiktiraf oleh banyak pihak di dunia ini dan menguasai Gaza dengan Ismail Haniyeh sebagai Perdana Menterinya. Anwar hanya memberikan pandangan yang Najib tidak membuat ‘homework’ sebelum melakukan lawatan itu. Oleh yang demikian lawatan yang sepatutnya memberikan lonjakan untuk Najib nyata telah menjadi isu besar yang negatif bagi kerajaan dan dirinya sendiri.
Najib terpaksa membela dirinya sendiri dan tidak ada di kalangan mereka dalam kabinet serta partinya yang mempertahankan beliau. Malahan ramai di antara pemimpin UMNO dan kerajaan sendiri memberikan komen yang tidak baik untuk Najib di belakang dan tidak langsung memberikan kenyataan untuk membela Perdana Menteri yang kian hari kian lemah itu. Selalunya UMNO akan mempertahankan pemimpin utamanya dengan kuat walau sebesar mana pun kesalahan pemimpin mereka. Mahathir dahulu telah melakukan banyak kesilapan besar tetapi setiap peringkat UMNO memberikan kenyataan tegas berdiri di belakang beliau dalam apa pun keadaannya.
Puluhan kali saya sebut dalam blog ini bahawa UMNO akan menghadapi perpecahan yang amat serius dan parti itu akan tersungkur dengan sendirinya. Jika parti yang tidak bersatu menghadapi musuh yang sedang kuat ia tidak akan mendapat kejayaan. Itulah sebabnya saya selalu memberikan pandangan banyak tahun dahulu yang UMNO akhirnya akan menjatuhkan diri mereka sendiri tanpa payah ditolak oleh pihak pembangkang. UMNO itu sekarang nampak gah dan besar serta garang, tetapi pada hakikatnya UMNO itu hanyalah sebagai satu ‘paper tiger’ sahaja yang tidak akan membawa apa-apa ‘consequence’ yang positif untuknya.
Tindakan ramai rakyat memilih untuk memberikan dukungan terhadap parti-parti ‘alternative’ adalah satu tindakan yang ‘natural’ dan kemahuan rakyat untuk berubah itu pun memangnya sudah sampai masa dan waktunya untuk dilakukan. Kita mesti ingat UMNO tidak boleh mengharapkan tuah datang selalu. Kadangkala ia terpaksa menghadapi kenyataan yang masa untuk ia diketepikan itu sememangnya sudah sepatutnya sampai, malahan ia sepatutnya berlaku sepuluh tahun dahulu lagi.
Cerita kemahuan sebahagian dari pemimpin UMNO untuk Muhyiddin mengambilalih kepimpinan UMNO sebelum pilihanraya itu sudah nyata benar. Tetapi jika pun Muhyiddin berjaya dengan sokongan Mahathir dan yang lain-lain untuk mengambilalih kepimpinan dari Najib, persoalannya adakah ia memberikan apa-apa perbezaan kepada UMNO.
Bagi pendapat ramai UMNO akan lebih buruk lagi keadaannya kerana bukan semua yang mahukan Najib berhenti, apatah lagi Najib baru sahaja mengambilalih kepimpinan dari Abdullah Badawi yang dibenci Mahathir itu. Jika pun Muhyiddin mengambil alih apa baiknya kerana beliau itu adalah dari acuan yang sama sahaja dan beliau tidak sunyi dari kesalahan yang besar yang belum disebut oleh rakyat lagi. Pendeknya yang diturunkan dan yang dinaikkan sama sahaja.
Bagi rakyat untuk memihak kepada satu dari dua pihak dalam UMNO ini, merupakan risiko yang bukan kecil. Risikonya ialah ketidakstabilan kerajaan itu. Yang menang tidak mendapat semua dan yang kalah tidak akan hilang kesemuanya. Oleh itu adalah tidak bijak bagi rakyat untuk memberikan sokongan kepada UMNO kerana kedua-dua pihak itu akan membawa musibah kepada negara dan kerajaan.
Adalah molek bagi rakyat meninggalkan sahaja UMNO itu dengan masalah yang mereka wujudkan sendiri dan kita berikan tumpuan kepada pihak alternatif yang lebih serius untuk mencari dan melakukan perbezaan terhadap rakyat dan negara.
Rakyat mahukan ‘ambience’ politik yang berbeza kerana rakyat rindukan suasana dalam mana mereka tidak payah berdiskusi tentang politik di mana-mana lagi. Rakyat mahukan ketenteraman suasana untuk terus hidup tanpa gangguan fikiran dan permasalahan yang berlaku terlalu banyak di hadapan mata mereka sendiri.
Dalam keadaan sekarang semakin hari semakin meyakinkan yang UMNO sudah mula tidak relevan untuk menjadi parti pemerintah yang baik lagi. UMNO seolah-olah sudah begitu usang untuk mendapatkan keyakinan rakyat ramai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan