Shakira Buang
Universiti Teknologi Mara (UiTM) menamatkan perkhidmatan seorang pensyarahnya yang dikaitkan dengan soalan kaji selidik berunsur lucah kepada pelajar perempuan baru-baru ini.
Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, UiTM berkata, pemecatan itu berkuat kuasa serta merta.
Institusi pengajian tinggi awam itu juga menegaskan mereka sentiasa mengambil serius sebarang dakwaan mengenai gangguan seksual terhadap bekas siswazahnya.
Sehubungan itu, kata UiTM, mereka melakukan siasatan mengikut garis panduan serta proses perundangan yang termaktub dalam Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 [Akta 605].
Mengikut peruntukan tersebut, katanya, tindakan tatatertib boleh diambil ke atas kakitangan yang melanggar peraturan, tatakelakuan serta larangan-larangan yang terdapat dalam Akta 605 dan Peraturan UiTM.
Mengulas lanjut, UiTM memberitahu mereka menjalankan siasatan yang teliti sejak 2021 bagi mengumpul semua bukti sebelum kesalahan dapat dibuktikan dan hukuman ditentukan.
"Setelah prosedur soal siasat dan siasatan dalaman selesai serta dimesyuaratkan Jawatakuasa Tatatertib Peringkat Tertinggi, UiTM menamatkan perkhidmatan pensyarah terbabit berkuat kuasa serta-merta selepas didakwa melakukan gangguan seksual pada bekas siswazah tersebut," kata UiTM.
Kecewa tiada maklum balas
Naib Canselor UiTM, Prof Roziah Mohd Janor, katanya, juga sentiasa memberi peringatan secara berkala kepada warga pusat pendidikan terbabit berhubung Akta 605.
"Sekiranya ingkar perintah atau berkelakuan dengan apa-apa cara yang boleh ditafsirkan dengan munasabah sebagai ingkar perintah, UiTM tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan keras sekiranya disabit kesalahan," tegasnya.
Terdahulu, menerusi ciapan Twitter, wanita yang dipercayai pelajar berkenaan mendakwa kejadian membabitkan pensyarahnya itu berlaku sejak tahun lalu.
Dia turut berkongsi laporan polis yang dibuatnya serta tangkap layar perbualan dia bersama pensyarah terbabit menerusi aplikasi WhatsApp.
Antara lain pensyarah berkenaan meminta wanita terbabit menjadi responden kajian ‘Soal Selidik Kesedaran Seks Di Kalangan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi’.
Bagaimanapun, pelajar terbabit sekali lagi menarik perhatian warganet apabila berkongsi kekecewaanya kerana sehingga kini belum menerima maklum balas daripada pihak berkuasa mahupun UiTM.
Carian juga mendapati pensyarah terbabit masih disenaraikan sebagai tenaga pengajar di salah sebuah kampus cawangan UiTM.
Pada 9 Sept lalu, Bukit Aman dilaporkan berkata, kertas siasatan kes terbabit telah dihantar balik ke Balai Polis Tangkak untuk “siasatan lanjut”.
Difahamkan siasatan lanjut sudah dilakukan dan kertas siasatan dihantar ke Ibu Pejabat Polis Johor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan