Anne Muhammad dan Danial Azhar
KUALA LUMPUR: Umno mencapai konsensus supaya pembubaran Parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan pada tahun ini, kata Setiausaha agungnya Ahmad Maslan.
Ahmad berkata, Perdana Menteri Ismail Sabri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah selaras Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, ketetapan itu dibuat padai Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno sebentar tadi.
“Keputusan mesyuarat MKT malam ini adalah berasaskan pendirian konsisten Umno sejak dari awal untuk memulangkan mandat rakyat yang tertangguh akibat pandemik Covid-19 setelah runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana persengketan dalaman politik sesama mereka.
“Sehubungan itu, semua jentera parti di setiap peringkat adalah diarahkan untuk memuktamadkan segala persiapan yang telah dibuat sebelum ini bagi memasuki fasa pembubaran sehinggalah kepada tarikh PRU15,” katanya pada sidang media di Menara Dato’ Onn.
Ahmad berkata, Umno percaya hanya dengan mengembalikan hak rakyat bagi membolehkan mandat sebenar diperolehi.
“Maka sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk bagi memulihkan negara khususnya dalam aspek ekonomi yang berkait rapat dengan soal kesejahteraan hidup mereka, di samping beberapa usaha pembaharuan institusi ke arah mewujudkan tadbir urus yang lebih baik buat negara,” katanya.
Sementara itu katanya, Umno juga membuat ketetapan untuk memecat blogger Zaharin Mohd Yasin daripada menjadi ahli berkuat kuasa serta merta.
Keputusan itu dibuat mengikut Fasal 10.6 dibaca bersama Fasal 5.9 kerana melanggar Etika Ahli Umno di bawah Fasal 20.9 perlembagaan parti itu.
Zaharin sebelum ini mendakwa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebagai perompak, pencuri dan penyangak sama seperti Najib Razak, ia berhubung sumbangan yang diterima parti itu.
Umno juga menerima perletakan jawatan Pengerusi Lembaga Disiplin parti itu Zulhasnan Rafique dan merakamkan ucapan terima kasih atas khidmat yang telah beliau berikan.
“Sebagai penggantinya, mesyuarat bersetuju untuk melantik Mohd Hafarizam Harun sebagai pengerusi Lembaga Disiplin Umno yang baharu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan