"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ketua balai polis berdepan hampir 100 tuduhan rasuah

NS Ramli

Seorang anggota polis berdepan 98 pertuduhan menerima suapan dengan nilai keseluruhan RM31,400 di Mahkamah Sesyen Kuantan, Pahang, hari ini.

Anuar Yaakub yang berpangkat sarjan mejar didakwa melakukan semua kesalahan terbabit antara Jan 2021 hingga Okt tahun lalu.

Anuar, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan selesai dibacakan di hadapan hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa menerima suapan berjumlah RM100 hingga RM2,000 daripada beberapa individu melalui pemindahan wang atas talian ke akaun bank miliknya.

Tertuduh sebelum ini bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang sebelum dipindahkan ke Balai Polis Cherating sebagai ketua balai.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan oleh pegawai dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rifah Izzati Abdul Mutalif.

Tertuduh pula diwakili peguam, Mohd Baharuddin Ahmad Kassim.

Pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan ikat jamin ke atas Anuar sebanyak RM15,000 bersama seorang penjamin, namun peguam mewakili tertuduh memohon agar jumlah itu dikurangkan.

Ini kerana, katanya, hanya memperoleh gaji bersih RM3,000 sebulan dan menanggung isteri serta tiga anak, selain turut menjaga ibu bapanya berusia 76 dan 73 tahun.

Hakim akhirnya memutuskan menerima permohonan pihak pendakwaan dan memutuskan Anuar diikat jamin RM15,000 serta syarat tambahan iaitu dia perlu melapor diri ke pejabat SPRM terdekat setiap bulan, bermula bulan depan hingga kes selesai.

Tertuduh juga diperintah untuk tidak mengganggu saksi kes itu sepanjang kes dibicarakan.

Hakim menetapkan 25 September ini bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen berkaitan.

Tiada ulasan: