"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Cukuplah 1 kerusi, jangan biar PAS bertapak di Johor - Zahid

Shakira Buang

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi membangkitkan semangat jentera Umno bagi PRK DUN Simpang Jeram dengan menegaskan PAS tidak boleh dibiarkan bertapak di Johor.

Zahid berkata cukuplah dengan PAS memenangi DUN Maharani - satu-satunya kerusi yang dipegang parti itu - pada PRN yang lalu.

"Kita mesti elakkan daripada kebanjiran PAS masuk ke Johor...Kita tidak mahu seorang lagi Adun PAS di Simpang Jeram.

"Oleh sebab itu, (calon PH dari Amanah, Ir Nazri Abdul Rahman) pakar banjir mesti tolak banjir ini, sebaliknya pastikan PH-BN yang membanjiri seluruh Johor sebagai negeri perpaduan paling kuat di negara kita," katanya ketika berucap dalam pertemuan dengan jentera Umno Bahagian Bakri, di Muar, hari ini.

Mengakui PAS mempunyai tapak yang kuat di DUN tersebut, Ahmad Zahid berkata Nazri perlu memberi penjelasan kepada pengundi di situ bagaimana PAS telah "memanipulasikan isu agama demi kemenangan".

"Pengalaman dalam PAS harus dikongsikan dengan kami, sebab kami pun telah 'dikencing' oleh PAS," kata Zahid merujuk pengalaman 30 tahun Nazri dalam parti itu.

Memohon maaf atas bahasa kasarnya itu, Zahid berkata Umno cuba bersangka baik dengan PAS ketika bekerjasama menerusi Muafakat Nasional sebelum ini.

“Dalam tempoh itu kita belajar hati budi mereka dan kita tahu PAS ini seperti buluh runcing yang sentiasa ada untuk menikam kita dari belakang,” dakwanya.

Nazri merupakan seorang jurutera dan pernah menjadi ketua bahagian kejuruteraan di Majlis Perbandaran Muar (MPM).

Dalam PRK ini, dia akan berdepan calon PN Dr Mohd Mazri Yahya dan calon bebas S Jeganathan.

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi juga berkongsi hasrat yang sama, iaitu agar PAS tidak dapat meluaskan tapaknya di negeri itu.

“Tadi presiden berjumpa dengan ahli Umno Bakri dan mengingatkan kita pentingnya untuk kita pertahankan habis-habisan.

“Tidak ada seinci pun kita biarkan untuk mereka bertapak di Johor,” tegasnya, sambil menegaskan pentingnya keselarian antara kerajaan pusat dan kerajaan Johor untuk pembangunan negeri.

Meneruskan serangannya terhadap PAS, Zahid mendakwa parti itu sedang "menunggang" Bersatu untuk meningkatkan kedudukannya.

"Ini jelas dilihat dalam PRN di enam negeri, di mana PAS telah mendapat banyak kerusi (terutama di negeri pantai barat).

“Untuk itu bagi Johor, saya minta jentera Umno-BN diseluruh negeri pastikan Johor dipertahankan sebagai 'simpanan tetap' kerajaan perpaduan.

Zahid mendakwa kepimpinan parti itu akan "bermukim" di Simpang Jeram dalam usaha merampas kerusi itu daripada Amanah.

“Hanya orang Parlimen Bakri dan DUN Simpang Jeram yang boleh menafikan hasrat mereka," katanya lagi.

DUN Simpang Jeram diwakili Allahyarham Salahuddin Ayub sejak kerusi ini diperkenalkan pada 2018. Pada PRN Johor 2022, Allahyarham mempertahankan kemenangannya dengan majoriti 2,399 undi.

Pengundi Melayu merangkumi 51.87 peratus pengundi, diikuti Cina (44.58 peratus) dan India (2.53 peratus).

Tiada ulasan: