"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pengkhianat: 4 penguat kuasa ditahan kerana minta suapan daripada warga asing

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my
EMPAT penguat kuasa ditahan SPRM selepas dipercayai menerima rasuah bagi melepaskan lelaki warga Bangladesh yang ditahan.
EMPAT penguat kuasa ditahan SPRM selepas dipercayai menerima rasuah bagi melepaskan lelaki warga Bangladesh yang ditahan.
Kuala Lumpur: Empat penguat kuasa ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur, semalam kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM12,000.

Ia sebagai balasan untuk melepaskan seorang tahanan wanita warga Bangladesh yang dipercayai terbabit sindiket pasport palsu.

Perintah reman enam hari terhadap empat anggota itu yang bermula hari ini hingga 28 Ogos dikeluarkan Majistret Aina Azahra Tun Arifin selepas menerima permohonan SPRM.

Menurut sumber, suspek pertama iaitu lelaki berusia 40-an ditahan pada 5 petang semalam, selepas dia dipercayai menahan lelaki Banglades atas kesalahan permit kerja tamat tempoh dan meminta rasuah sebanyak RM3,000 sebagai balasan untuk melepaskannya.

"Hasil siasatan terhadap suspek pertama, SPRM berjaya menahan tiga lagi rakannya antara 9 hingga 10 malam tadi, disyaki bersubahat dengan suspek dan bertugas di pejabat sama.

"Ketiga-tiga rakan suspek berusia antara 20-an hingga 30-an mendakwa suspek pertama melakukan perbuatan itu secara bersendirian, tanpa pengetahuan mereka," katanya.

Bagaimanapun katanya, perbuatan sebenar empat mereka terbongkar selepas pengadu (warga Bangladesh) yang menyerahkan wang kira-kira RM3,000, membuat aduan di pejabat SPRM mendakwa suspek meminta wang berjumlah RM12,000, Isnin lalu.

"Wang berkenaan sebagai balasan untuk melepaskan rakan pengadu yang ditahan kerana terbabit dalam sindiket pasport palsu.

"Siasatan lanjut dilakukan menemui wang tunai kira-kira RM10,000 yang diagihkan dalam kalangan suspek, manakala sejumlah pasport palsu yang dirampas turut ditemui di salah satu bilik pejabat suspek," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terbabit dan memaklumkan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Tiada ulasan: