"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bersatu, Pas sakan berebut jawatan Exco Kedah

HarapanDaily.com

Bersatu dan Pas yang menguasai kerajaan negeri di Kedah susulan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini dilihat sedang berebut jawatan Exco.

Parti ‘bunga raya’ iaitu Bersatu dikatakan tidak puas hati apabila hanya tiga jawatan Exco diperuntukkan berbanding lima wakil mereka sebelum ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam, Halimaton Shaadiah Saad dijangka dilantik semula ke jawatan Exco, selain dua muka baharu dari Bersatu, lapor BH.

Berkemungkinan besar, dua lagi ADUN mewakili Bersatu itu yang akan dilantik adalah ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani dan Datuk Mohd Salleh Saidin (Kubang Rotan).

BH memetik sumber dalam Bersatu berkata, pihaknya kesal apabila hanya tiga wakil parti itu bakal dilantik ke jawatan Exco selepas menyumbang 11 kerusi dalam kemenangan PN di Kedah pada 12 Ogos lalu.

“Kami sangat kecewa dan kesal apabila dimaklumkan hanya diperuntukkan tiga jawatan Exco sedangkan pada penggal lalu, kami diberikan lima jawatan termasuk Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.

“Kami tidak mahu apa yang berlaku di Kelantan dan Terengganu apabila hanya masing-masing satu jawatan Exco diberikan kepada wakil BERSATU, sedangkan kami sama-sama bekerja untuk PN di negeri terbabit,” lapor BH lagi memetik sumber.

Dalam keputusan PRN Kedah minggu lalu, PN memenangi 33 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekaligus menerajui pentadbiran kerajaan negeri Kedah.

Daripada 33 kerusi itu, Bersatu menang di 11 kerusi DUN iaitu Ayer Hangat, Kuah, Kota Siputeh, Bukit Kayu Hitam, Suka Menanti dan Kubang Rotan.

Turut dimenangi Bersatu adalah Sungai Tiang, Guar Chempedak, Bayu dan Lunas.

Tiada ulasan: