"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas banduan didakwa cuba rompak, rogol warga emas

Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
am@hmetro.com.my
SAARAN mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, hari ini. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Taiping: Lelaki yang baharu dua bulan dibebaskan dari penjara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tiga pertuduhan termasuk cubaan merogol seorang wanita warga emas, minggu lalu.

S Saaran, 32, membuat pengakuan itu selepas ketiga-tiga pertuduhan itu dibacakan dalam Bahasa Tamil oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.

Bagi pertuduhan pertama, Saaran dituduh melakukan cubaan rogol terhadap seorang warga emas berusia 75 tahun di ruang tamu sebuah rumah di Lorong 14 Taman Assam Maju, di sini, 8.30 pagi, 15 Ogos lalu.

Tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 511 Kanun yang sama.

Pertuduhan kedua, Saaran turut dituduh merompak menggunakan senjata dengan menyebabkan kecederaan ke atas warga emas itu pada masa, tempat, dan tarikh yang sama.

Tertuduh didakwa melakukan rompakan bersenjatakan pisau terhadap harta milik mangsa berupa wang tunai RM10, serta rantai emas dan semasa melakukan perbuatan itu tertuduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas warga emas itu.

Bagi perbuatan itu ia boleh dihukum mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan (KK) dibaca, yang sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, atau sebatan; selain turut dibaca bersama Seksyen 397 Kanun yang sama.

Bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa iaitu pada masa, tarikh, dan lokasi sama didakwa melakukan perbuatan sebagaimana pertuduhan pertama dan kedua, melakukan rompakan terhadap harta milik seorang individu berusia 55 tahun iaitu menantu lelaki kepada mangsa warga emas terbabit.

Saaran didakwa melakukan rompakan terhadap harta lelaki itu membabitkan wang tunai RM5,000 serta sebuah kereta jenis Honda yang pada ketika melakukan rompakan itu tertuduh menggunakan senjata berbahaya iaitu sebilah pisau.

Bagi perbuatan itu, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 392 KK yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebatan; selain turut dibaca bersama Seksyen 397 Kanun yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syuhada Muhammad Lutfi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Bagi kes cubaan rogol, Nur Syuhada menawarkan jaminan RM30,000 beserta syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mendekati mangsa, manakala bagi kes merompak bersenjata Nur Syuhada menawarkan jaminan RM20,000 dan syarat tambahan sama.

Bagaimanapun, tertuduh memohon agar jumlah jaminan itu dikurangkan dengan mengambil kira keadaan dirinya yang tidak bekerja kerana baru keluar penjara dua bulan lalu.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh dijamin dengan seorang penjamin RM20,000 bagi kes cubaan rogol dan RM10,000 bagi kes rompak serta syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa serta saksi dalam kes berkenaan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 25 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk pengurusan kes termasuk bagi
lantikan peguam dan serahan dokumen.

Tiada ulasan: