"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Suspek pecah rumah meninggal dunia, pemilik rumah antara 4 ditahan

Hidayatidayu Razali
am@hmetro.com.my
EMPAT lelaki yang ditahan reman susulan kematian suspek yang cuba mengumpil tingkap rumah. FOTO ihsan pembaca
EMPAT lelaki yang ditahan reman susulan kematian suspek yang cuba mengumpil tingkap rumah. FOTO ihsan pembaca
Kota Bharu: Empat lelaki termasuk pemilik rumah ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini susulan kematian suspek yang cuba mengumpil tingkap rumah di Kampung Belukar, Tapang di sini, 20 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, berkata, empat lelaki berusia antara 30-an hingga 50-an itu ditahan reman sehingga 1 September depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).

Katanya, pada 3 pagi, 20 Ogos lalu suspek berusia 30-an cuba mengumpil tingkap rumah.

"Pihak polis menerima laporan daripada pemilik rumah, 6.05 pagi hari yang sama, berkenaan kes pencerobohan oleh suspek.

"Mangsa memaklumkan, suspek cuba mengumpil tingkap rumahnya sebelum dia menghampiri, namun suspek melarikan diri. Walau bagaimanapun, suspek berjaya ditangkap oleh mangsa dengan bantuan penduduk kampung.

"Semasa tangkapan, suspek yang menggunakan pisau bertindak agresif dan berlaku pergelutan antara suspek dengan mangsa serta penduduk kampung. Namun, suspek berjaya ditangkap dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek yang juga penganggur cedera di muka serta kepala dan dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk mendapatkan rawatan.

Menurutnya, hasil semakan polis, suspek mempunyai dua rekod berkaitan kesalahan jenayah dan dadah.

Mohd Rosdi berkata, 9.43 malam kelmarin, pihak hospital mengesahkan suspek meninggal dunia ketika menerima rawatan.

"Susulan kematian suspek, polis menangkap empat lelaki termasuk pemilik sebuah rumah untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 KK.

"Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian dan saksi diminta tampil membantu siasatan atau boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes Asisten Superintendan Wan Mahani Wan Mansor di talian 019-8336423 atau 09-7752200 atau mana-mana Balai Polis berhampiran," katanya.

Tiada ulasan: