"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Peguam negara seterusnya, Ahmad Terrirudin?

V Anbalagan
Peguam Cara Negara Ahmad Terrirudin Salleh (kiri) dilaporkan pilihan utama bagi menggantikan Idrus Harun, yang kontraknya tamat bulan depan, kata sumber.
PETALING JAYA: Peguam Cara Negara Ahmad Terrirudin Salleh dikatakan menjadi pilihan utama bagi menggantikan Idrus Harun sebagai peguam negara yang kontraknya tamat bulan depan, menurut sumber.

Perkhidmatan Idrus dilanjutkan selama enam bulan selepas kontrak asalnya tamat Mac lalu, beliau dilantik pada 6 Mac 2020, menggantikan Tommy Thomas.

Sumber berkata, peguam kanan serta hakim yang sedang berkhidmat dan bersara mungkin keberatan untuk memikul tugas itu kerana ia akan melibatkan menangani beberapa kes berprofil tinggi.

“Pada masa ini, Terrirudin kelihatan berada dalam kedudukan baik untuk menyandang jawatan itu, yang dianggap sebagai ‘kerusi panas’,” kata sumber itu kepada FMT.

Jika dilantik, Terrirudin, 54, akan menjadi calon pertama daripada Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan sejak Abdul Gani Patail memegang jawatan tertinggi itu antara 2002 dan 2015.

Sebelum dilantik sebagai peguam cara negara pada Mac tahun lepas, Terrirudin ialah ketua pendaftar Mahkamah Persekutuan.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Apandi Ali dilantik sebagai peguam negara dari Julai 2015 hingga Mei 2018, tetapi khidmatnya ditamatkan lalu diganti oleh Tommy Thomas, yang dilantik pada Jun 2018. Tommy kemudian meletak jawatan pada Februari 2020.

Idrus, bekas peguam cara negara, ialah hakim Mahkamah Persekutuan sebelum menjadi peguam negara pada 2020.

Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik peguam negara atas nasihat perdana menteri.

Bagaimanapun, satu lagi sumber berkata Idrus mungkin dikekalkan sehingga penghujung tahun. FMT telah menghubunginya untuk mendapatkan respons.

“Pada dasarnya, terpulang kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk memutuskan siapa yang akan menjadi peguam negara merangkap pendakwa raya,” kata peguam A Srimurugan kepada FMT.

Tiada ulasan: