"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tular video lelaki ditetak, lima suspek ditahan polis

Melvin Joni
am@hmetro.com.my
TANGKAP layar video pergaduhan yang menunjukkan suspek menetak mangsa menggunakan parang. FOTO tular
TANGKAP layar video pergaduhan yang menunjukkan suspek menetak mangsa menggunakan parang. FOTO tular 
Padawan: Polis menahan lima lelaki tempatan yang disyaki menyerang seorang lelaki sehingga mengalami kecederaan parah dalam kejadian yang tular dan dilaporkan berlaku di sebuah premis di kawasan Matang, di sini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Padawan, Deputi Superintendan Lim Jaw Shyong berkata, tangkapan ke atas semua suspek yang berusia antara 20 hingga 45 tahun itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan mengenai kejadian jam 1.16 tengah hari semalam.

"Mangsa lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30-an mengalami cedera parah selepas diserang oleh kesemua suspek yang bersenjatakan parang dan kayu hoki," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kejadian sebenar berlaku pada awal pagi semalam iaitu kira-kira jam 1 pagi, ketika mangsa bersama teman wanitanya sedang makan malam dan didatangi kesemua suspek.

Katanya, salah seorang suspek menuduh mangsa mempunyai hutang dengannya tetapi dinafikan mangsa.

Lim berkata, tidak puas hati dengan penafian mangsa, suspek kemudian membawanya keluar dari premis makan dan memukul menggunakan kayu hoki sebelum dilibas dengan parang.

"Mangsa cuba melarikan diri tetapi gagal menyebabkan dia mengalami luka di badan dan kaki akibat ditetak.

"Menyedari mangsa cedera, kelima-lima suspek melarikan diri," katanya.

Beliau berkata, mangsa dibawa ke Hospital Umum Sarawak dan dalam keadaan stabil namun memerlukan pemerhatian rapi kerana kecederaan dialaminya.

Lim berkata, semua suspek direman di Mahkamah Kuching hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.

Selain itu, katanya kes juga disiasat mengikut Seksyen 148 kanun yang sama atas kesalahan merusuh dengan senjata yang membawa hukuman penjara selama lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan video kejadian kerana ia boleh menjejaskan siasatan dan sesiapa yang didapati menularkan video berkenaan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tiada ulasan: