"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jawi siasat ritual Islam, Hindu 'bercampur' di acara MIC

Malaysiakini

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sedang menyiasat bacaan doa Islam dalam satu majlis pecah tanah di Kuala Lumpur.

Walaupun kenyataan Jawi tidak menyebut majlis itu secara khusus, ia dipercayai merujuk acara di ibu pejabat MIC pada Isnin lalu.

Acara yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri dan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi itu menyaksikan bacaan doa berdasarkan Islam serta upacara mengikut agama Hindu dan Kristian dibuat.

Jawi berkata pihaknya sedang menyiasat perkara itu bagi memastikan tiada unsur yang bertentangan dengan pandangan hukum atau fatwa yang berkuat kuasa.

"Sebarang kesalahan yang berhubungan dengan akidah boleh dikenakan tindakan undang-undang dan hukuman di bawah Akta 559, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jawi turut menasihati semua pihak agar merujuk kepada pihak autoriti agama bagi memastikan ia tidak bertentangan dengan syarak.

"Keharmonian dan toleransi antara agama adalah perkara yang disarankan oleh ajaran Islam, lebih-lebih lagi dalam situasi negara yang berbilang kaum.

"Namun semua pihak dinasihatkan agar sentiasa merujuk kepada pihak autoriti agama bagi memastikan tindakan yang dilaksanakan mengikut lunas hukum syarak yang telah ditentukan," katanya lagi.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Timbalan Presiden MIC M Saravanan berkata bacaan doa dalam agama Islam dan Kristian adalah bukti parti itu terbuka untuk semua kaum India yang menjadi penganut sebarang agama di negara ini.

"Ahli MIC terdiri daripada penganut semua agama. Maka, adalah tidak adil untuk kami mengadakan majlis pecah tanah dengan upacara agama Hindu sahaja.

"Bagaimana ahli MIC yang beragama Islam dan Kristian nak mengambil bahagian dalam majlis tersebut jika majlis diadakan dengan upacara satu agama saja?" katanya.

Pada masa sama dia menjelaskan acara itu tidak mencampur-adukkan ritual agama terlibat, sebaliknya dibuat dengan peraturan tertentu.

Tiada ulasan: