SAFINA RAMLI
GEORGE TOWN – Trend pengantin wanita beragama Islam yang berpakaian seksi dan tidak menutup aurat ketika majlis akad nikah bercanggah dengan garis panduan berpakaian dalam Islam.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, ia merupakan suatu budaya jahiliah dan mungkar yang wajar ditinggalkan.
“Sebagaimana diketahui sebilangan besar masyarakat Islam bahawa hukum menutup aurat adalah wajib dalam Islam.
“Aurat lelaki Muslim (wajib ditutup) ketika berada di khalayak antara pusat dan lutut, manakala wanita Islam diwajibkan menutup seluruh tubuh kecuali muka dan telapak tangan ketika kehadiran lelaki ajnabi (bukan mahram),” katanya hari ini.
Beliau mengulas mengenai trend wanita Islam yang berpakaian seksi dan tidak menutup aurat ketika majlis akad nikah.
Baru-baru ini, media sosial kecoh dengan pakaian seksi yang digayakan pelakon wanita pada majlis akad nikahnya.
Pakaian artis wanita itu yang mendapat sentuhan pereka fesyen antarabangsa menerima kecaman daripada pengguna media sosial yang menyifatkan ia terlalu seksi dan tidak sesuai digayakan pada majlis tersebut.
Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, namun ketika berada dalam kalangan wanita, mereka hanya diwajibkan menutup bahagian pusat dan lutut.
“Cuma pakaian itu disyaratkan tidak nipis sehingga menampakkan kulit dan tidak terlalu ketat. Secara prinsipnya wanita Islam diharuskan memakai apa jua fesyen pakaian termasuk ketika hadir majlis akad nikah dengan syarat seperti dinyatakan,” katanya. -KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan