Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my
ANTARA 52 migran ditahan Bahagian D3 (Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran) Bukit Aman di kawasan Sabak Bernam, Selangor dan Teluk Intan, Perak. FOTO Ihsan PDRM.
Kuala Lumpur: Cubaan 52 migran warga Indonesia yang ingin pulang ke negara asal melalui jalan laut secara haram di Sabak Bernam, Selangor dan Teluk Intan, Perak dipercayai untuk menyambut Hari Raya Aidiladha gagal selepas ditahan polis dalam Op Pintas semalam.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian D3 (Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, Bahagian D3 menjalankan operasi membanteras aktiviti penyeludupan migran di kawasan berkenaan.
Menurutnya, fokus operasi adalah berkaitan elemen kesalahan SOM iaitu penyeludupan migran yang dipercayai keluar dari Malaysia untuk ke Indonesia melalui jalan yang tidak diwartakan di kawasan Sekinchan, Sungai Besar, Sabak Bernam dan Hutan Melintang iaitu melalui jalan laut.
"Hasil operasi berjaya membuat serbuan di dua premis yang dijadikan sebagai rumah penampungan migran.
"Hasil serbuan yang dijalankan berjaya membuat tangkapan ke atas 52 migran warganegara Indonesia dan empat lelaki (warganegara Malaysia dan Indonesia) yang berperanan sebagai ejen, transporter dan penjaga rumah penampungan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Soffian berkata, dalam serbuan pertama di Sabak Bernam, Selangor, tangkapan membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun dan lelaki warga Indonesia berusia 30 tahun mengikut Seksyen 26A Akta Atipsom 2007.
"Manakala tangkapan mengikut Seksyen 6 (1) (c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 seramai 22 lelaki warga Indonesia dan 11 wanita warga Indonesia (migran), berusia antara 22 tahun sehingga 48 tahun.
"Serbuan kedua di Teluk Intan, Perak pula menahan lelaki tempatan berusia 44 tahun dan lelaki warga Indonesia berusia 30 tahun mengikut mengikut Seksyen 26A Akta Atipsom 2007," katanya.
Beliau berkata, dalam serbuan itu, 19 lelaki warga Indonesia berusia 25 hingga 46 tahun turut ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan