"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Didenda RM4,500 kerana pasang CCTV, intai wanita dalam tandas syarikat

Meor Riduwan Meor Ahmad
bhnews@bh.com.my
Tertuduh diiringi anggota polis ketika dibawa untuk menghadapi pertuduhan di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini
Tertuduh diiringi anggota polis ketika dibawa untuk menghadapi pertuduhan di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini
MELAKA: Seorang akauntan didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini, selepas mengaku bersalah atas tuduhan mengaib kehormatan rakan sekerja wanita dengan memasang kamera litar tertutup (CCTV) tersembunyi dalam tandas pejabat syarikat pada Selasa lalu.

Majistret, Sharda Shienha Mohd Suleiman, mengenakan denda itu terhadap tertuduh, Chong Soon Hoe, 25, yang mengaku bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya.

Beliau turut memerintahkan tertuduh dipenjara tambahan enam bulan jika gagal melunaskan denda berkenaan, namun lelaki itu membayarnya.

Berdasarkan pertuduhan dia dituduh mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 28 tahun dengan cara memasang CCTV dalam plastik tisu di tandas yang akan mengganggu kesantunan mangsa.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah pejabat dekat Jalan Tun Perak dalam daerah Melaka Tengah di sini, pada 7 Mei lalu jam 4.30 petang.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Mengikut fakta, mangsa seorang ejen cukai dan bekerja di syarikat terbabit kira-kira setahun setengah melihat CCTV itu tersembunyi dalam plastik tisu ketika berada dalam tandas pada hari kejadian.

Apabila memeriksanya menggunakan komputer riba, mangsa mendapati CCTV itu dipasang oleh tertuduh dan terdapat rakaman video dirinya dalam tandas.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Sofian manakala tertuduh diwakili peguam bela, Kent Tan Chow Teng.

Terdahulu, peguam bela memohon mahkamah menggunakan budi bicara untuk melepaskan tertuduh dengan Bon Berkelakuan Baik berdasarkan peruntukan Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah dan tidak dipenjarakan.

Peguam itu antara lain berhujah, tertuduh seorang pemegang ijazah kelas pertama dalam bidang perakaunan, masih muda, tiada rekod kesalahan lampau serta menjaga ibu bapa yang menghidap penyakit darah tinggi serta kencing manis.

Katanya, tertuduh yang juga anak lelaki tunggal keluarga sudah insaf atas kesalahannya itu, selain ingin menyambung pengajian di Singapura serta memohon taraf penduduk tetap di sana.

Pihak pendakwaan bagaimanapun membantah permohonan peguam dan menghujahkan supaya hukuman setimpal dikenakan mengambil kira fakta kes yang diperakui tertuduh.

"Kepentingan awam harus mengatasi kepentingan tertuduh dan hukuman dikenakan dapat memberi pengajaran kepada tertuduh yang menceroboh privasi mangsa agar tidak mengulangi kesalahan sama pada masa depan," katanya.

Tiada ulasan: