PRK KKB: ‘Haram’ ahli PAS tak keluar mengundi, kata Takiyuddin
Faiz Zainudin
Setiausaha agung PAS berkata ia bukan satu ‘fatwa’ sebaliknya arahan untuk ahli PAS di kawasan itu bagi memastikan calon Perikatan Nasional Khairul Azhari Saut menang.
Takiyuddin Hassan berkata arahan kewajipan keluar mengundi jelas termaktub dalam Perlembagaan PAS dan ia perlu dipatuhi.
HULU SELANGOR: ‘Haram’ jika ahli PAS tidak keluar mengundi pada PRK Kuala Kubu Baharu, Sabtu ini, kata Setiausaha Agungnya Takiyuddin Hassan.
Bagaimanapun, beliau berkata ia bukan satu ‘fatwa’ sebaliknya arahan untuk ahli PAS layak mengundi di kawasan itu bagi memastikan kemenangan calon Perikatan Nasional (PN) Khairul Azhari Saut.
“Saya menyeru terutamanya rakan saya dari PAS, ‘haram’ bagi ahli PAS jika tidak keluar mengundi di KKB.
“.. ia bukan satu ‘fatwa’ ini penegasan kita, kalau Tok Guru (Presiden PAS Abdul Hadi Awang) sebut (mengundi itu) fardu ain samalah itu dengan ‘haram’ kalau kita tak buat. Untuk kita keluar mengundi pastikan kita, keluarga kita, rakan kita, jiran kita mengundi calon nombor satu Khairul Azhari Saut,” katanya ketika berucap dalam Ceramah Perdana PN di Ampang Pecah yang turut dihadiri Pengerusi PN Muhyiddin Yassin.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata arahan kewajipan keluar mengundi jelas termaktub dalam Perlembagaan PAS dan ia perlu dipatuhi.
“Dalam Perlembagaan PAS sendiri ada arahan daripada parti adalah satu yang perlu dipatuhi.
“Tidak mematuhi satu arahan itu boleh dikenakan tindakan displin,” katanya.
PRK itu akan menyaksikan Khairul ditentang Pang Sock Tao mewakili Pakatan Harapan (PH), Hafizah Zainuddin dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) serta calon bebas Nyau Ke Xin.
Ia diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan