Meor Riduwan Meor Ahmad
bhnews@bh.com.my
Keadaan jalan rosak dan berlubang di tempat kejadian kemalangan- Foto tular. (Gambar kecil) Siti Sarah Mohamed Nuwawi.
JASIN: Seorang guru wanita maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dipercayai akibat melalui permukaan jalan rosak di Jalan Gapam-Bemban di sini, semalam.
Nahas berlaku kira-kira jam 11.20 pagi ketika mangsa, Siti Sarah Mohamed Nuwawi,32, yang juga guru kanan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Jasin Bestari sedang menunggang motosikal menghala ke Gapam dari Bemban.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi, berkata mangsa disahkan meninggal dunia empat jam kemudian, ketika menerima rawatan di Hospital Melaka.
"Hasil siasatan awal kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa dipercayai terlanggar kawasan yang tidak rata kerana terdapat kerosakan pada permukaan jalan hingga hilang kawalan lalu terbabas dan jatuh di kiri jalan.
"Akibatnya mangsa cedera parah di kepala dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 4.20 petang di unit kecemasan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Jamil berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati tiada sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan saksi kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan dengan hadir atau menghubungi balai polis berhampiran.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, berita nahas berkenaan tular di media sosial dan menerima pelbagai reaksi daripada netizen apabila dikaitkan dengan keadaan permukaan jalan yang rosak.
Aktivis jalan raya yang juga pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood (Brotherhood), Azlan Sani Zawawi, yang lantang memperjuangkan isu jalan berlubang di negara ini, menggesa keluarga atau waris mangsa mengambil tindakan undang-undang berhubung kejadian itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan