NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
I Gede Purna (berkerusi roda) dipenjara lapan bulan kerana menikam pengawal keselamatan di Mahkamah Majistret Kemaman hari ini.
KEMAMAN – Seorang buruh ladang warga Indonesia yang kudung kaki akibat dilanggar lori selepas menikam seorang pengawal keselamatan di Bandar Seri Bandi di sini pada bulan lalu dihukum penjara lapan bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap I Gede Purna Wijaya, 23, selepas tertuduh mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menikam pinggul kiri mangsa, Muhammad Akmal Danial Mohd Zaid, 22, dengan menggunakan sebilah pisau di Ladang Mawar, di Bandar Seri Bandi di sini pada pukul 12.30 tengah malam, 20 April lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Azhani Azman manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam.
Kosmo! 22 April lalu melaporkan kaki seorang buruh ladang hancur digilis sebuah lori di Plaza Tol Kijal di sini sewaktu melarikan diri selepa menikam seorang pengawal keselamatan Ladang Mawar, Bandar Seri Bandi.
Terdahulu dia telah diarahkan pulang ke rumah oleh mangsa selepas didapati berkeliaran di kawasan pejabat pengurusan ladang kelapa sawit itu pada pukul 3.55 pagi. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan