KOSMO
NEW DELHI – Polis di India menahan dua peniaga berikutan kematian seorang pemuda berumur 19 tahun selepas dia makan ‘shawarma ayam’ yang dibeli dari gerai mereka, kata seorang pegawai seperti laporan stesen penyiaran NDTV kelmarin.
Polis berkata, mangsa yang dikenali sebagai Prathamesh Bhokse dilaporkan membeli makanan itu dari gerai suspek di kawasan Trombay, kota Mumbai pada 3 Mei lalu.
Dia mengalami sakit perut dan muntah teruk pada hari berikutnya dan segera mendapatkan rawatan di hospital berdekatan.
Prathamesh dibenarkan pulang ke rumah pada 5 Mei lepas, namun keadaan kesihatannya semakin merosot. Keluarga mangsa sekali lagi membawanya ke hospital.
Doktor-doktor melakukan pemeriksaan lebih terperinci, namun mangsa meninggal dunia pada keesokan harinya.
“Pihak hospital melaporkan kes tersebut kepada polis selepas melakukan pemeriksaan,” kata seorang pegawai polis tempatan.
“Lelaki itu tidak pulih dan meninggal dunia pada Isnin lalu,” tambahnya.
Polis seterusnya menahan dua penjual makanan itu dan mendakwa mereka kerana beberapa kesalahan termasuk membahayakan nyawa orang lain dan menjual makanan tercemar. – AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan