"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ibu meraung tepi jalan lihat anak putus kaki terlibat kemalangan

TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Tangkap layar video menunjukkan ibu Muhammad Adam (tengah) sedih melihat keadaan anaknya yang putus kaki akibat kemalangan di Jalan Budiman, Kuala Terengganu semalam.
KUALA TERENGGANU – Gara-gara sebuah kenderaan pacuan empat roda, Toyota Hilux dikatakan tiba-tiba membuat pusingan U, seorang penunggang motosikal putus kaki kiri apabila merempuh kenderaan itu di Jalan Budiman di sini semalam.

Kejadian malang menimpa mangsa, Muhammad Adam Muqlis Abdul Aziz, 18, itu berlaku di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek di sini pada pada 6.50 petang.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor, berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca selepas kenderaan Toyota Hilux dipandu lelaki berusia 23 tahun dikatakan tiba-tiba membuat pusingan U di hadapan SMKA Sheikh Abdul Malek.

“Motosikal Honda EX5 yang ditunggangi mangsa dari arah lampu isyarat Jalan Budiman gagal mengelak lalu merempuh kenderaan Toyota Hilux terbabit.

“Impak rempuhan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah sehingga kaki kirinya putus di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azli berkata, Muhammad Adam telah dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk menerima rawatan.

Beliau berkata, pemandu kenderaan Toyota Hilux terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah memberi keterangan berhubung kemalangan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini.

Terdahulu, tular di media sosial memaparkan ibu kepada Muhamad Adam meraung di tepi jalan sewaktu melihat keadaan anaknya yang menahan kesakitan akibat kemalangan tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: