"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Aktivis pro-Palestin usung ‘mayat’ berlumuran darah ke pameran senjata

Malaysiakini 
story-imageSekumpulan aktivis pro-Palestin hari ini berdemonstrasi di hadapan Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) di Kuala Lumpur bagi membantah penyertaan syarikat pembekal senjata kepada Israel.

Menamakan diri sebagai Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) dan Gegar Amerika, mereka antaranya mengusung replika rakyat Palestin yang menjadi korban akibat serangan Israel terhadap Gaza.

Selain tujuh ‘mayat’ berlumuran darah itu, mereka juga membawa kain rentang bertulis “Stop the US-funded genocide” (hentikan penghapusan bangsa tajaan Amerika).

Dua syarikat itu ialah syarikat pertahanan Amerika Syarikat Lockheed Martin dan BAE System dari United Kingdom.

Sementara itu, Jurucakap SSP, Nur Hafizah Shamsudin menyifatkan kerajaan sebagai hipokrit kerana membenarkan dua syarikat itu terlibat dalam pameran Pameran Keselamatan Kebangsaan (Natsec) Asia 2024 yang bermula Isnin lalu.

“Kerajaan ini penuh dengan retorik, hanya menyatakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin namun tiada tindakan jelas diambil mereka,” katanya.

Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin kelmarin berkata Malaysia sebagai negara perdagangan bebas memberi ruang kepada semua pemain industri global memasarkan produk dan perkhidmatan mereka di Malaysia.

Justeru, katanya, Malaysia tidak campur tangan dalam urusan perniagaan mana-mana syarikat global dengan mana-mana negara tertentu.

Nur Hafizah juga berkata dia hairan apabila kerajaan Malaysia yang pro-Palestin membenarkan dua syarikat tersebut menjadi penaja platinum dalam pameran Natsec.

“Jelas kerajaan mementingkan keuntungan semata-mata sehingga lupa ribuan rakyat Palestin terkorban disebabkan senjata yang diberi oleh dua syarikat itu,” jelasnya kepada Malaysiakini.

‘Nasib Palestin macam Tamil di Sri Lanka’

Sementara itu, perhimpunan itu turut disertai wakil NGO Malaysian Tamil For Palestine (MTFP), Mythreyar Mutturamanilnggam yang datang dari Tanjung Malim, Perak.

Mythreyar pada jam enam pagi tadi sudah menaiki kenderaan untuk turut sama berdemonstrasi di ibu negara hari ini.

Walaupun penduduk Palestin kebanyakannya Islam, Mythreyar melihat itu itu sebagai isu kemanusiaan yang melangkaui bangsa dan agama.

Mythreyar Mutturamanilnggam
Katanya, penderitaan rakyat Palestin sama seperti apa yang berlaku terhadap orang-orang Tamil di Sri Lanka.

“Dahulu kaum saya berjuang di Sri Lanka mendapat nasib yang sama namun suara kami tidak didengari dan digelar pengganas jika menuntut kebebasan.

“Begitu juga dengan nasib sama yang dialami rakyat Palestin, bahkan Israel antara negara yang memberi dana kepada pemerintah Sri Lanka (dalam perang terhadap Harimau Pembebasan Tamil Eelam atau LTTE),” katanya.

Gerakan pemisah itu dikelaskan sebagai pertubuhan pengganas di Malaysia.

Pada 2019, polis menahan beberapa orang, termasuk dua anggota Dewan Undangan Negeri, susulan dakwaan pertalian mereka dengan LTTE.

Tiada ulasan: