"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Disangka hilang, rupanya mayat dalam tanah

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my
PASUKAN penyelamat mengeluarkan mangsa yang ditemui tertimbus di lokasi kejadian. FOTO Juwan Riduan.
PASUKAN penyelamat mengeluarkan mangsa yang ditemui tertimbus di lokasi kejadian. FOTO Juwan Riduan.
Kota Kinabalu: Seorang pemandu treler yang cuba terjun menyelamatkan diri sebaliknya digilis tayar kenderaan berat itu sebelum maut tertimbus di dalam tanah.

Dalam kejadian jam 7.30 malam tadi, mangsa, Fairon Bola, 30, dipercayai terjun dari treler itu selepas kenderaan berat itu gagal dikawal berhampiran Kampung Gudon, Manggatal, di sini.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pasukan bomba tiba di lokasi kejadian pada jam 7.45 malam sebaik menerima maklumat kejadian.

Menurutnya, pasukan operasi gagal menemui mangsa sebelum menghubungi syarikat treler itu bagi mengenalpasti identiti pemandu treler berkenaan.

"Kami dimaklumkan pemandu treler terbabit tiada di rumahnya menyebabkan operasi pencarian terpaksa dilakukan semula di lokasi kejadian.

"Mangsa akhirnya berjaya ditemui tertimbus dalam tanah di kiri kepala treler pada jam 9.26 malam," katanya.

Riki berkata, pasukan operasi seterusnya membantu mengeluarkan mayat mangsa yang tertimbus menggunakan peralatan khas.

Katanya, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 10.47 malam," katanya.

Sementara itu, Riki berkata, operasi berkenaan membabitkan seramai 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Hasrulnizam.

Tiada ulasan: