"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ahli PAS dipuji komited dengan ideologi parti

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Hrkh) - Salah satu cara untuk mengelakkan berlakunya gejala lompat parti ialah, parti-parti yang ada perlu mengukuhkan program politik dan ideologi mereka.

   Langkah-langkah perlu diambil supaya ahli mereka khususnya yang bertanding tidak termakan dengan pujukan, malah komited kepada parti, kata kolumnis akhbar The Edge, Dato' Dr Toh Kin Woon dalam kolumnya My Say 16 Februari lalu.

Dr Toh Kin Woon merupakan bekas Adun BN Machang Bubok dan anggota Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Menurutnya, contoh parti yang mempunyai asas ideologi yang kukuh dan kuat di negara ini ialah PAS.

"Mungkin kita tidak bersetuju dengan ideologinya, tapi kita perlu tahu bahawa semua mereka yang menyertai PAS komited untuk memperjuangkan matlamat parti tersebut," katanya.

Hal ini, katanya dapat menjelaskan mengapa kerajaan PAS mampu bertahan di Kelantan biarpun dengan kemenangan tipis mengatasi Barisan Nasional, yakni dengan majoriti satu kerusi dari 2004 hingga 2008.

"Saya yakin terdapat usaha untuk membuatkan beberapa orang Adunnya untuk melompat parti tetapi tidak seorang pun didapati termakan umpan tersebut," sambungnya.

Cara lain untuk mengelakkan berlakunya lompat parti katanya ialah dengan mewujudkan undang-undang anti-lompat parti, sekali gus menjadikan lompat parti satu perbuatan haram.

Cara lain lagi, katanya, ialah dengan rakyat menunjukkan isyarat yang jelas dan kuat tentang kebencian mereka berhubung gejala lompat parti.

"Di Perak BN telah menafikan hak rakyat dengan menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat. Justeru, rakyat perlu memberitahu BN bahawa apa yang dilakukannya itu tidak beretika, tidak bermoral dan tidak demokratik," jelasnya.

Mereka yang melompat parti dan menghianati rakyat kerana kepentingan diri perlu ditolak, katanya.

"Saya pasti dan yakin, inilah yang akan dilakukan oleh rakyat pada pilihan raya umum akan datang," katanya. 

Tiada ulasan: