"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

3 Adun 'melompat' di Perak hidup dalam tekanan

KOTA BHARU, 14 Feb (Hrkh) - Tiga bekas Adun Pakatan Rakyat yang menjadi penyebab kepada krisis perlembagaan di Perak dikatakan dihimpit kecelaruan apabila masih menyembunyikan diri sehingga sekarang.

 
  

Jamaluddin Mohd Radzi, Mohd Osman Jailu dan Hee Yat Foong difahamkan belum kembali ke rumah mereka sejak episod kehilangan mereka sebelum ini.

Malah seorang daripada Adun terbabit tidak juga kembali ke rumah biar pun isterinya sakit tenat sekarang.

Manakala Hee Yat merupakan orang kurang upaya (OKU) juga belum pulang ke rumahnya.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perak, Khalil Adham Lim Abdullah berkata, rumah Adun Jelapang sekarang menjadi sasaran rakyat yang tidak berpuas hati terhadap tindakannya menjadi pembelot.

"Saya diberitahu setiap hari orang yang lalu lalang di depan rumahnya menghamburkan kata-kata kesat. Ada yang melemparkan telur busuk dan macam-macam lagi.

"Anaknya juga tidak dapat berniaga seperti biasa sekarang kerana tidak tahan berdepan dengan cemuhan orang ramai," katanya pada ceramah perdana di Padang Perdana malam tadi.

Hadir sama Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa, anggota parlimen Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut dan wakil Hamas, Sami Abu Zahri.

Perkembangan isu di Perak sekarang ternyata menarik minat rakyat Kelantan apabila ribuan hadir. Padang Perdana dipenuhi 'lautan' manusia berkopiah dan bertudung putih.

Malam semalam lalu ribuan hadir pada ceramah di Kedai Kubang Kerian. Sebelum itu ceramah juga diadakan di Padang Majlis Daerah Tanah Merah dan Markaz Tarbiah PAS Rantau Panjang.

Adham Lim yang juga Adun Titi Serong berkata, episod kehilangan tiga bekas Adun Pakatan Rakyat berlainan dengan apa yang berlaku terhadap Adun Bota, Nasaruddin Hashim apabila berhijrah selama 11 hari kepada parti KeADILan.

"Dia datang sendiri kepada KeADILan tanpa diberi sebarang upah. Namun apa yang berlaku terhadap tiga bekas Adun Pakatan Rakyat mereka mengisytihar keluar parti dengan penuh misteri," ujarnya.

Timbalan Presiden PAS berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjadi alat kepada Umno apabila mengumumkan tarikh penamaan calon pilihan raya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau sehari selepas berlangsung perhimpunan agung Umno.

Katanya, pemilihan tarikh tersebut seperti disepakati di antara SPR dan pemimpin Umno.

Mursyidul Am PAS pula mempersoal mengapa Kementerian Dalam Negeri bertindak merampas Harakah dan Suara Keadilan kalau tidak bertujuan menyekat rakyat mendapat maklumat sebenar.

Katanya, berdasar kepada laporan, rampasan akhbar oposisi itu berlaku di Selangor, Perak dan Kedah yang dianggapnya tidak wajar sama sekali.

"Kalau KDN bertindak begitu lebih baik kita tidak lagi membeli akhbar harian yang lebih condong kepada Umno berdasar kepada laporan mereka yang berat sebelah.

"Banyak cara kita boleh mendapatkan maklumat tanpa membaca akhbar harian. Internet, SMS sudah diguna secara meluas sekarang. Biar mereka rasakan. Sekali sekala kita juga perlu bertindak keras," katanya. - mj _

Tiada ulasan: