"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Foto bogel: Elizabeth tawar letak jawatan

Malaysiakini | 17 Februari 2009

Exco Negeri Selangor, Elizabeth Wong pagi ini menawar diri untuk meletakkan jawatan exco dan ahli dewan undangan negeri (Adun) ekoran penyebaran foto bogelnya kepada umum.

Beliau mengumumkan demikian dalam sidang akhbar yang bermula pada jam 11.40 di di ibupejabat PKR di Tropicana.

Kira-kira 30 penyokongnya turut hadir di sidang akhbar tersebut dengan membawa kain rentang menyokong Elizabeth.

Mereka juga melaung meminta Elizabeth supaya jangan meletakkan jawatan.

Turut hadir ketua Wanita PKR yang juga ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan exco negeri, Teresa Kok dan naib presiden PKR, R Sivarasa.

Sementara itu, Elizabeth memberitahu sidang akhbar tersebut bahawa beliau menawar diri untuk meletak kedua-dua jawatan tersebut demi kepentingan parti.

Bagaimanapun, Elizabeth menekankan bahawa beliau mendapat sokongan daripada penyokong, pengundi dan pihak parti.

Kelmarin, Elizabeth membuat aduan polis berhubung penyebaran foto-foto bogelnya kepada umum itu. Selain foto, difahamkan satu klip video juga turut disebarkan.

Beliau juga merupakan Adun PKR di Bukit Lanjan dan exco pelancongan, hal ehwal pengguna dan alam sekitar sejak 11 bulan lalu.

Difahamkan foto-foto itu dirakam tanpa kebenarannya - kemungkinan oleh seorang bekas teman lelakinya - sewaktu beliau sedang tidur.

Menurut sumber-sumber, pemimpin tinggi PKR yang bertemu malam tadi , memutuskan untuk mengakhiri kontroversi tersebut sebelum menjelang pilihanraya di Perak dan Kedah.

Dengan peletakan jawatan Elizabeth, maka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengadakan pilihanraya kecil di Bukit Lanjan, pada masa yang sama dengan pilihanraya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau yang telah ditetapkan serentak pada 7 April depan.

Dalam pilihanraya umum lalu, Elizabeth menang dengan memperolehi 12,125 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dari Gerakan, Yong Dai Ying, yang mendapat 6,970 undi.

Elizabeth menang dengan majoriti 5,155 undi.

Menurut sumber-sumber, antara calon PKR yang disebut-sebut mungkin bertanding di kerusi tersebut ialah bekas pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan yang juga bekas timbalan menteri, Dr Tan Kee Kwong.

Kee Kwong, yang pernah menjadi ahli Parimen Segambut, menyertai PKR Ogos tahun lalu.

Satu lagi calon yang disebut-sebut ialah bekas ketua wanita MCA Klang dan bekas ahli Parlimen Klang, Dr Tan Yee Kew, yang menyertai PKR tahun lalu.

Sementara itu, Adun Kajang, Lee Kim Sin dari PKR disebut-sebut akan dilantik mengisi jawatan exco yang dikosongkan oleh Elizabeth.

Difahamkan, turut dipertimbangkan untuk mengisi jawatan tersebut ialah Adun Rawang, Gan Pei Nee.

Tiada ulasan: