"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

"Kerja jahat,celaka dan hina..."

Mohd Khalil Abdullah 
KUALA LUMPUR, 17 Feb (Hrkh) -
 "Ini satu mainan politik yang sangat buruk yang berlaku dan kita lihat ada satu paten yang menyerang wakil-wakil rakyat kita, dulu di Perak, Kedah dan kini Selangor."

Demikian tegas Ketua Umum KeADILan pada sidang media di lobi Parlimen hari ini sambil menambah, "Cara ini merupakan kerja yang celaka dan jahat. Kerja menghina dan mengaibkan orang. Kalau ada bukti, silakan."

"Saya beritahu pada Eli, kita akan ikhtiar untuk pertahankan nama beliau kerana seperti anda semua maklum, Eli adalah tokoh penting di Selangor dan rekod kerjanya sangat baik sebagai wakil rakyat dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,"jelasnya mengenai isu terkini yang melibatkan Adun Bukit Lanjan,Elizabeth Wong.

Beliau turut mengecam laman web Agenda Daily yang dikatakan cuba menghina Wong dengar memaparkan gambar yang kurang sopan wakil rakyat itu dan Khalid.

"Cara ini merupakan kerja yang celaka dan jahat. Kerja menghina dan mengaibkan orang. Kalau ada bukti, silakan.

"Saya mahu tanya pimpinan Barisan Nasional (BN) untuk bercakap soal moral dan diketengahkan. Jika mereka konsisten, saya minta Timbalan Perdana Menteri bangun dahulu untuk menjelaskan bahawa beliau ada cukup kekuatan moral untuk menjaga moral rakyat.

"Jangan paksa kita main isu ini kerana kita tidak fikir masuk gelanggang politik untuk mengaibkan orang terutama dalam kamar sendiri," katanya yang mendakwa insiden yang menimpa Wong didalangi oleh Umno dan disokong oleh parti-parti komponen BN.

Ditanya bagaimana beliau pasti bahawa insiden itu didalangi Umno, Anwar berkata: "Buktinya Agenda Daily yang mainkan gambar Eli duduk bersendeng-sendeng dengan MB."

"Anda fikir itu bermoral? Itu jawapan saya,"tegasnya.

Sementara itu,Anwar menasihatkan Elizabeth supaya bercuti bagi menenangkan fikiran berikutan insiden gambar bogelnya yang kini tersebar.

Anwar berkata, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim telah memaklumkan kepada beliau bahawa Elizabeth telah diminta bercuti berikutan tekanan yang diterima oleh exco Selangor itu terutama daripada beberapa laman web berhubung insiden tersebut.

"Menteri Besar telah mengesahkan bahawa beliau telah menerima surat mengenai kedudukan Eli (Elizabeth) dan ini saya serahkan kepada kebijaksanaan Menteri Besar.

"Saya faham yang Eli membuat keputusan setelah mempertimbangkan semua opsyen terutama bagi mempertahankan imej dan kredibiliti parti.

"Bagaimanapun, opsyen terbaik sekarang adalah beliau bercuti dan memikirkan semula semua opsyen yang ada dan kemudian datang balik dan berbincang dengan kita,"jelasnya.

Anwar berkata, Elizabeth telah menemuinya dan juga Presiden KeADILan, Dato' Seri Dr. Wan Azizah dan beberapa pemimpin parti malam tadi di rumahnya bagi menjelaskan perkara itu.

"Kita dengar penjelasan beliau dan berasa simpati terhadap apa yang beliau tanggung berhubung usaha untuk menyerang peribadinya yang sangat jahat,"luah Anwar. 


Tiada ulasan: