"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sangsi Pak Lah tidak lepaskan jawatan PM?

Oleh G. MANIMARAN


PETALING JAYA: Ketika tinggal enam minggu menjelang pemilihan Umno dan peralihan kepimpinan kerajaan, masih wujud kesangsian yang Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak akan berundur?

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyentuh isu ini sekali lagi menerusi tulisan blognya dengan mendakwa ada usaha mengekalkan Abdullah sebagai Perdana Menteri.

Abdullah tidak mempertahankan jawatan Presiden Umno kali ini. Ia dimenangi tanpa saingan oleh Timbalannya, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak.

Najib secara rasmi diisytiharkan Presiden Umno hujung bulan depan dan dijangkakan Abdullah menyerahkan kuasa Perdana Menteri kepada Najib hujung Mac atau awal April.

"Seperti biasa, terdapat banyak berita angin akan perancangan mereka. Jika boleh, mereka akan halang peralihan kuasa, sekurang-kurangnya buat sekian lama.

"Kata berita angin mereka sedang menasihat Datuk Seri Abdullah supaya tidak letak jawatan apabila sahaja Datuk Seri Najib Razak jadi Presiden parti.

"Kata mereka tidak semestinya Presiden parti jadi Perdana Menteri. Ini bukan syarat dalam Perlembagaan negara. Ia hanya amalan parti tanpa peruntukan tertulis," kata beliau yang menyerahkan tampuk kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan Umno kepada Abdullah pada Oktober 2003.

Kata bekas Presiden Umno, oleh kerana yang menentukan segala-galanya ialah Perdana Menteri, "jika Perdana Menteri tidak letak jawatan itu haknya, sepertimana memilih menteri atau timbalan perdana menteri adalah haknya.
"Lazimnya, yang dipilih menjadi Timbalan Perdana Menteri bukan Timbalan Presiden Umno.

Justeru, Dr. Mahathir yang dianggap sebagai "orang penting" dalam menggerakkan Najib bagi mempercepatkan proses peralihan kuasa Mac ini berbanding Jun 2010 menyoal: "Apakah Najib akan memberontak" jika ia berlaku?

"Tidak," kata beliau yang mewajarkan tulisannya dengan berkata, "mungkin cerita-cerita berkenaan usaha Tingkat Empat (Jabatan Perdana Menteri) untuk mengekalkan Abdullah sebagai Perdana Menteri selepas Najib menjadi Presiden Umno hanya rekaan orang-orang tertentu.

"Jika ia ternampak akan memberontak ada cara untuk melawannya. Jika dapat dicetuskan keadaan tertentu, seperti rusuhan atau huru-hara, ini boleh dijadikan alasan untuk Datuk Seri Abdullah tidak letak jawatan. Ramai ahli Umno dan ahli Majlis Tertinggi pasti akan sokong Datuk Seri Abdullah. Mereka semua terhutang bukan sahaja budi kepadanya," kata Dr. Mahathir lagi.

Dr. Mahathir juga meramalkan kemungkinan ada antara ahli Umno yang menentang kuat dan bercadang untuk mengadakan undi tidak percaya dalam parti atau dalam Parlimen.

"Umno boleh ditangani melalui cara biasa. Jika terpaksa hilang berjuta pun tak mengapa kerana kuasa Tingkat Empat boleh menampung dengan punca-punca yang sudah ada. Apa gunanya wang jika kuasa untuk mendapatnya sudah hilang?

"Jika Ahli Parlimen pula bercadang untuk mengadakan undi tidak percaya dalam Parlimen, ini tidak mungkin berjaya. Sebahagian daripada ahli Parlimen BN mungkin tidak akan sokong tindakan ini.

"Ahli parti lawan memang hendak Datuk Seri Abdullah terus jadi Perdana Menteri. Mereka telah pun menyatakan sokongan mereka. (Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, (Pengerusi DAP), Karpal Singh dan (Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri) Anwar Ibrahim telah menyatakannya secara terbuka," katanya.
Jelas beliau, dengan sokongan ahli parti lawan kepada Abdullah, sukar bagi BN mendapat cukup bilangan untuk meluluskan undi tidak percaya.

"Jika undi tidak percaya dalam Parlimen tidak berjaya, Abdullah akan jadi Perdana Menteri yang amat lemah, kerana memerlukan sokongan parti lawan untuk meluluskan sebarang undang-undang yang dibawa ke Dewan Rakyat," katanya.

Tiada ulasan: