"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

BN usaha rampas negeri Pakatan dengan apa cara sekalipun - PAS Selangor

Anis Nazri
 KUALA LUMPUR, 17 Feb (Hrkh) - Barisan Nasional sentiasa berusaha untuk merampas semula semua negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat dengan apa cara sekalipun, seperti yang berlaku di Perak baru-baru ini.
Justeru, sedikit kesilapan pasti akan digunakan musuh untuk menjatuhkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat

Demikian ditegaskan oleh Perhubungan PAS Negeri Selangor dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh sekretariat medianya, petang tadi, kepada Harakahdaily.

Mengulas lanjut isu berkaitan gambar bogel Exco Selangor, Elizabeth Wong, PAS Selangor mengutuk penyebaran gambar-gambar tersebut kerana ianya adalah satu perbuatan jenayah yang perlu dikenakan tindakan.

Dalam kenyataan tersebut, PAS Selangor mengalu-alukan tindakan pihak polis untuk menjalankan siasatan rapi dengan penuh keamanahan, kebertanggungjawaban dengan kadar yang segera.

Tambahnya, sesiapa sahaja yang didapati bersalah perlu dihadapkan ke muka pengadilan.

Bagaimanapun, PAS Selangor berpendapat tindakan yang bersesuaian terhadap Wong perlu dilakukan sekiranya wujud masalah kesalahan moral beliau.

"Sekiranya siasatan mendapati ada masalah kesalahan moral berlaku di pihak Wong, tindakan yang bersesuaian perlu dilakukan terhadap beliau demi menjaga integriti dan nama baik Pakatan Rakyat dan kerajaan Negeri Selangor khususnya," tegas kenyataan tersebut.

Kenyataan itu turut menyeru semua Adun dan Ahli Parlimen PAS, khasnya dan Pakatan Rakyat amnya agar sentiasa menjaga akhlak dan tingkah laku mereka dengan baik agar dapat menghindarkan diri dari krisis moral yang boleh mengancam kestabilan Pakatan Rakyat di Negeri Selangor.

Setiap ahli politik yang diberi amanah oleh rakyat perlu memiliki akhlak dan keperibadian yang baik sehingga boleh menjadi contoh dan ikutan kepada rakyat.

Justeru, setiap ahli politik, khususnya Adun dan Ahli Parlimen perlu sentiasa menjaga akhlak dan tingkah laku mereka dengan baik agar dapat menghindarkan diri dari krisis moral yang boleh mengancam kestabilan Pakatan Rakyat.

Saranan itu dilihat perlu memandangkan semua Adun dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat sentiasa menjadi perhatian umum dan sasaran musuh, kenyataan PAS Selangor itu dipetik. 


Tiada ulasan: