"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Adun Pakatan Rakyat gesa SPRM siasat semua tuduhan rasuah

Saidah Hairan 
SHAH ALAM, 16 Mac (Hrkh) -
 Adun Pakatan Rakyat sebulat suara menyokong usul Meru, Dr Rani Osman yang menggesa Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat semua tuduhan rasuah dan salahguna kuasa yang serius tanpa memikirkan merit bagi membuktikan SPRM sebagai badan bebas.

Dalam usul tersebut beliau menegaskan amalan rasuah boleh melemahkan sistem demokrasi dan ia merupakan virus berbahaya yang mampu merampas jati diri masyarakat.

Pada mulanya kata beliau, rakyat berkeyakinan dengan penjenamaan SPRM yang sebelum ini Biro Siasatan Negara (BSN) dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan menjadi lebih telus, cekap, bebas dan berkuasa.

Bagaimanapun, katanya, rakyat tertipu apabila satu demi satu penyalahgunaan kuasa dan rasuah yang dilaporkan kepada SPRM tidak sedikit pun diambil tindakan.

"SPRM yang dilihat lebih berkuasa hanya menjalankan dakwaan terpilih dan terbukti apabila ada laporan rasuah melibatkan pimpinan Pakatan Rakyat mereka cepat bertindak dan `menikus' apabila melibatkan pimpinan Umno/BN," katanya.

Contoh kata beliau, dalam kes pemberian 46 ekor lembu dan kereta Lexcus milik Menteri Besar SPRM bertindak pantas malah telah menjatuhkan hukuman mendahului Peguam Negara.

Beliau mempersoalkan bagaimana hukuman boleh dijatuhkan sedangkan laporan baru siasatan baru hendak diserahkan kepada Peguam Negara.

"Apakah Pengerusi SPRM mahu mempengaruhi keputusan Peguam Negara sedangkan dalam masa yang sama laporan rasuah yang dilakukan oleh Umno banyak yang tertunggak bertahun-tahun," tegasnya.

SPRM juga digesa meneliti semula kes-kes rasuah yang membabitkan pemimpin Umno Johor yang cuba merasuah calon PAS dalam pilihan raya 2004.

Walaupun sudah lima tahun katanya, kes itu berlaku namun tiada sebarang tindakan yang diambil sedangkan pengadu telah menyerahkan semua bukti.

Begitu juga tuduhan rasuah membabitkan Ketua Umno Kota Tinggi (Dato' Syed Hamid Albar) menerusi akuan bersumpah seorang pemimpin Umno Cawangan tetapi sehingga sekarang masih tiada jawapan.

Menurut beliau, rakyat dikejutkan dengan berita seorang pegawai kanan SPRM (superintendan) yang dipercayai menerima sogokan kewangan daripada seorang usahawan sebagai ganjaran untuk mengertak rakan perniagaannya.

"Inilah yang dikatakan `harapkan pagar, pagar makan padi'," tegas beliau.

Beliau simpati dengan rakyat dan sesetengah ahli Umno di mana Ketua Umno Bahagian Muar, Dato' Kadar Shah Tun Sulaiman Ninamshah dan mantan exco Pemuda Umno Malaysia, Dato' Mazlan Harun cuba membersihkan integriti negara dan Umno yang mendapat lebih 1000 laporan rasuah.

Namun katanya, tidak ada sebarang tindakan konkrit daripada SPRM atau Lembaga Displin Umno.

Sehubungan itu tegas beliau, SPRM merupakan satu institusi terbaru yang diperalatkan dan diperkudakan oleh Umno/BN untuk menggugat kestabilan Pakatan Rakyat yang telah dipilih oleh rakyat berbilang kaum.

Usul tersebut disokong oleh kg Tunku (DAP)-Lau Weng Sang yang menegaskan SPRM satu badan yang tidak berfungsi kerana hanya mengheret beberapa rakyat bawahan sedangkan pimpinan besar dalam Umno/BN masih aktif menjalankan rasuah.

Beliau berkata, ketika Adun Bota Dato' Nasharuddin Hasim keluar Umno dan masuk KeADILan SPRM terus mengeluarkan kenyataan akan menyiasat sama ada terlibat dengan unsur politik wang.

"Tidak sampai seminggu Nasharuddin masuk semula Umno, SPRM tidak membuat sebarang komen," tegasnya.

Adun Hulu Kelang, Saari Sungib turut menyokong usul tersebut dan berharap SPRM perlu menyiasat daripada mana arahan dibuat untuk melambat-lambatkan pengumuman keputusan pilihan raya pada 8 Mac untuk DUN Hulu Kelang, Batu Caves dan Bukit Antarabangsa.

Ini kerana katanya, keputusan itu dijanjikan akan diumumkan antara jam 8 hingga 10 malam tetapi terpaksa pengundi dan calon di DUN tersebut terpaksa menunggu sehingga jam 4 pagi.

Beliau turut mendesak Lembaga Zakat Selangor perlu disiasat kerana telah memindahkan wang berjuta-juta ringgit yang tidak diagihkan pada 11 disember 2008 di bawah MAA takaful.

Begitu juga dengan laporan penyata kewangan berakhir 31 disember 2007 di bawah tajuk pilihan raya Ijok berjumlah RM149,160 telah diaudit di bawah Majlis Berkuasa Tempatan (PBT).

Beliau turut menyentuh bekas Pengerusi PKNS yang menggunakan kuasa dan pengaruh mendapatkan lot banglo di Bandar Baru Bangi dengan diskaun lima peratus.

Menurut beliau, bekas Menteri Besar (Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo) telah meluluskan konsesi membekalkan paip untuk Jabatan Bekalan Air Selangor sebelum menjadi PUAS oleh syarikat yang dinaungi Naib Ketua Umno Tanjong Karang.

Tambah beliau, Khir juga telah mengarahkan Pengarah JKR menyerahkan projek untuk pembinaan jalan ke Sabak Bernam, kem wataniah dan kuartes SUK di Shah Alam.

Usul yang dibentangkan petang tadi turut disokong oleh Adun Pandamaran (DAP)-Ronnie Liu; Seri Setia (KeADILan)-Nik Nazmi Nik Ahmad; Batu Caves (KeADILan)-Amiruddin Shari dan Kajang (DAP)- Lee Khim Sin.

Tiada ulasan: