Oleh Dr mohd asri zainul abidin
Bertalu-talu email meminta saya mengulas tentang jenazah seorang tokoh seni. Ada perkara negatif yang sebutkan untuk ‘tokoh seni’ yang sudah pun meninggal itu. Asalnya, jangan disebut lagi apa yang telah berlalu seperti itu, melainkan untuk pengajaran dan hukum sahaja. Di sini saya rumuskan jawapan saya seperti berikut;
Pada asasnya saya enggan mengulas, namun sekadar kenyataan umum untuk semua. Pada saya, hal seperti ini, sesuatu jenazah diurus sebagai seorang lelaki muslim, jika pasti dia seorang benar-benar lelaki asalnya. Namun jika tidak pasti, mungkin dia khunsa atau sebagainya, dan dia telah menjalani hidup sebagai seorang perempuan, maka anggaplah dia sememangnya perempuan.
Dengan cara tersebut, kita bersangka baik kepadanya dan tidak ‘tajassus’ atau mencari-cari keburukannya. Kita tidak disuruh untuk menyelak rahsia peribadi insan apa yang tidak zahir atau tidak kita ketahui dan pasti. Kita hukum berdasarkan apa yang nyata sahaja. Allah lebih mengetahui hamba-hambaNya.
Kita doakan keampunan dan rahmat Allah untuknya. Adapun tindakan dan perbuatannya, jika ada yang salah, kita serahkan kepada Allah, Dia Yang Maha Mengetahui setiap hambaNya. Setiap hamba ada rahsia yang tersendiri antara dia dan Allah Yang Maha Pengasih, apa yang kita tidak tahu. Ya, perbuatan yang salah kita tidak restui, yang haram tidak akan kita halalkan, namun kedudukan seseorang insan di sisi Tuhannya kita tidak pasti. Seseorang mungkin bertaubat, memohon keampunan, mengadu masalahnya yang tersendiri kepada Allah apa yang kita tidak tahu. Kita bukan penentu syurga dan neraka seseorang.
Ya, perbuatan yang salah, tetap salah di sisi syarak. Namun keadaan atau kedudukan setiap pesalah di sisi Allah tidak sama. Mungkin insan yang zahirnya buruk, namun keampunan Allah melimpah untuknya disebabkan perkara-perkara yang tidak kita ketahui. Mungkin juga seseorang kelihatan baik pada sisi manusia, namun dia keji di sisi Allah. Allah menimbang setiap insan amalan baik dan buruknya. Sesiapa amalan baik melebihi amalan buruknya, maka selamatlah dia. Begitulah sebaliknya. Perbuatan yang salah jangan diulangi.
Adapun beliau sudah pun meninggal, kita dilarang mencerca jenazah muslim atau bukan muslim pun hanya kerana maksiat peribadinya. Juga kita mengungkit dosa peribadi, apatahlagi mencari-cari perkara yang tidak pasti. Bahkan kita disuruh mendoakan keampunan Allah untuk setiap saudara muslim, semoga Allah juga mengampuni kita pada hari kita bertemuNya nanti.
-dr mohd asri zainul abidin- lampeter, uk.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan