Mohd Sayuti Omar
ORANG Melayu terkenal dengan sifat suka bergurau dan jenaka. Sebab itu orang Melayu kaya dengan cerita-cerita penglipura lara, baik mengenai haiwan ataupun manusia. Biasanya watak tentang manusia watak yang bodoh,bebal ataupun dugun persis Pak Pandi, Pak Kadok, Lebai Malang dan sebaganya. Berlainan watak penglipur lara dalam dunia haiwan, menampil watak cerdik, pintar dan licit seperti sang kancil, arnab dan jamnapari.
Cerita penglipur lara ini dinukilkan untuk berhibur, membuang rasa sedih ataupun bagi mendamaikan keadaan. Penglipur lara satu daripada cara untuk menenangkan fikiran. Ia adalah medium untuk berhibur orang-orang Melayu zaman bahari.Tetapi dalam kisah-kisah penglipur lara atau humor itu ada mesej yang hendak disampaikan atau diselitkan. Sekiranya si pendengar itu peka, prihatin dan pandai menggali dan mentafsirnya maka berjumpalah dengan mesej itu. Kalau tidak maka jadilah cerita itu sebagai hiburan semata-mata.
Masuk telinga kanan akan keluar telinga kiri. Disebabkan hampir 100 peratus para perwakilan Umno adalah orang Melayu maka kisah-kisah jenaka dan humor ini tidak pernah ketinggalan dalam persidangan parti berkenaan. Walhal persidangan tahunan itu merupakan forum rasmi untuk membincang masalah parti dan negara yang diperintah oleh parti berkenaan.
Menerusi forum itu dirumuskan formula dan penyelesaian ke atas masalah dan hambatan yang berlaku khsusnya yang mengekang parti berkenaan. Namun unsur humor tidak pernah ketinggalan. Malahan seakan tidak sah kalau unsur jenaka ini tidak melatari persidangan parti Melayu itu. Seolah-olah perwakilan sengaja mencari jenaka dan cerita lucu untuk dipersembahkan dalam persidangan setahun sekali itu.
Perhimpunan Umno ke-60 yang berakhir semalam turut sama dipenuhi atau diselit dengan unsur humor dan jenaka. Semua orang nampaknya bermain dengan jenaka, dari perwakilan yang mengambil bahagian perbahasan mewakili negeri-negeri dan sayap, kepada pemimpin tertinggi yang menggulung perbahasan.
Sebahagian besarnya mengambil pendekatan atau latar jenaka, selain pantun sebagai memeriahkan ucapan atau perbahasan mereka. Jenaka atau humor tidak menjadi kesalahan. Ia boleh meringan beban perasaan dan pemikiran. Tetapi kalau ia sudah melampau dan mengada-ngada tidak elok kerana ia boleh menenggelamkan isu atau mesej penting hendak disampaikan.
Jenaka yang tidak bermaaf jadilah jenaka bodoh. Bila jenaka berlebihan perwakilan akan ketawa terbahak-bahak, sampai sakit perut dan berair mata hatta terkencing. Kerana saking suka isu yang hendak diangkat terlupa ditelan jenaka yang tidak banyak faedahnya itu! Lebih malang lagi kisah jenaka inilah pula yang dibawa pulang ke bahagian dan cawangan diceritakan di sana.
Maka jadilah persidangan Umno sebagai persidangan untuk melumba jenaka dan cerita humor atau persidangan para badut. Di sini saya ingin menarik perhatian jenaka ataupun humor yang dibuat oleh Ahmad Zahid Hamidi yang memperkenakan perwakilan dari Negeri Sembilan, Ishak Ismail.
Pada saya apa yang dilakukan Zahid sudah keterlaluan. Mungkin bagi Zahid dia hanya menimbulkan jenakannya itu sebagai bahan hiburan saja untuk melindungi ketandusan modal dan ideanya. Tetapi kalau begitu lama dan memakan masa hampir tujuh minit dia berjenaka menceritakan hal peribadi rasanya kuruang manis. Apa lagi jenaka Zahid melampau apabila mendedahkan hal-hal peribadi Ishak.
Zahid tahu dan sebahagian orang yang berada dalam dewan juga tahu mengenai apa yang diperkatakan Zahid itu adalah jenaka. Tetapi bagaimana bagi ahli yang menerimanya sebagai benar? Misalnya mengenai perbuatan Ishak yang tidak amanah yang menyonglapkan wang projek sebanyak RM18,000? Apa lagi cerita Zahid itu ada kronologi atau hujah.
Misalnya mengenai dakwaan Ishak yang beliau diberi wang sebanyak RM2,000 sahaja oleh Rais Yatim. Tetapi Zahid menjelaskan apabila beliau bertanya Rais sendiri, Rais kata dia bagi Ishak RM20,000? Apa maksud gurauan ini semua. Orang akan menganggap Ishak sudah songlap RM18,000.
Natijah buruknya orang akan melebelkan begitu sebenarnya pemimpin Umno! Cerita atau gurauan ini mudah dipercayai dan dianggap serius kerana kebanyakan pemimpin Umno begitu, suka songlap duit projek atau masukkan duit projek dalam poket sendiri. Nilai projek yang sebenarnya tidak akan sampai kerana terpaksa menjelaskan tol di perjalanan. Kalau projek RM5 juta, wang yang digunakan untuk projek itu hanya RM2 juta sahaja. Selebihnya disapu.
Cerita begini tidak elok. Sebagai Naib Presiden, Zahid sepatutnya mendedahkan ketrampilan dia sebagai pemimpin. Kemukakan wawasan dan idea bagaimana hendak membangun parti. Menghapuskan rasuah. Ataupun beliau perlu mengupas setiap pandangan yang dilemparkan ke atasnya dengan bernas, sistemetik dan memberi solution ke atas isu dan masalah yang dikemukakan.
Dalam keadaan Umno ditimpa penyakit waham dan lemah tenaga batin ini jenaka dan humor berlebihan tidak sesuai lagi. Saya tertarik dengan penggulungan oleh Muhyiddin Yassin dan Khairy Jamaluddin. Tidak banyak jenaka yang diselit oleh mereka berdua. Ucapan dan penggulungan jenis itulah yang diperlukan dari pemimpin yang berada di atas sana.
Paling menarik bagi saya tiga rangkap puisi disampikan Muhyiddin menggambarkan sifat dan sikap orang Melayu dalam mencari pemimpin. Puisi ini cukup bernilai dan wajar dijadikan azimat.
Begini puisi yang dicari Muhyiddin:
Menjadi pemimpin sifatnya agung,
Syarat dipakai adat dijunjung,
Negeri dijaga rakyat dilindung,
Kasihnya panjang sayang bersambung.
Kepada yang miskin tiada sombong,
Kepada kaya tiada menyanjung,
Dijadikan pemimpin sejahtra kampung,
Bersama rakyatnya sekain tudung.
Dijadikan tua membawa tuah,
Hidup rukun rezeki melimpah,
Dijadikan induk membawa barkah,
Wibawanya besar tuah bertambah,
Umatnya tidak mengenal susah.
Manakala persembahan dua lagi Naib Presiden, Hishmuddin Hussein danShafei Afdal juga tidak berwibawa dan berkualiti. Shafei lebih merupakan peluruh getah Umno untuk menghentam Pas dan Anwar Ibrahim. Pendekatan demikian tidak sesuai pada masa ini, di mana orang mulai menerima politik liberal dan berasaskan fakta dan hujah yang realistik. Shafei terjangkah ke belakang sepuluh langkah. [wm.kl. 11:50 am 17/10/09]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan