"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Catatan Bagan Pinang Dan Selepasnya. / UBN Najib Altantuya / PKFZ

Azizi Abdullah

Ramai yang menganggap, apabila Dun 31 Bagan Pinang kalah kepada BN dengan manjoriti lebih baik, saya jatuh demam kepialu, terkejut gajah sampaikan tidak meng ’entry’ beberapa artikel di dalam blog ini. Bloger Barajiwa beberapa kali menyindir. Kalau Pas memang tentu saya melalak sakan, kata mereka.

Tidak pula begitu. Saya bukanlah bloger profesional. Ke Bagan Piang sejak 8 Oktober sehingga 12 Oktober, menginap di Aprt. Laguna Teluk Kemang, berhadapan markas DAP, malangnya tak boleh layari internet.

Bila balik, program lain sudah menunggu, termasuk ceramah di UUM, kemudian di USM, di tambah pula tulang ruat orang tua, sakit sendi di sana sini.

Bagan Pinang mencatat banyak peristiwa. Sebelum tarikh itu pun, saya sudah berkali-kali telefon kepada Zulkifli Mohamad Omar, kawan baik juga. Tapi yang angkat telefon hanyalah isterinya. Yang dapat saya kata, Zulkifli baik orangnya, bermesra dengan semua kaum sebelum menjadi calon 11 Oktober pun.


Bangunan terbengkalai di Port Dickson



Lagi bangunan terbengkalai di Dun Bagan Pinang


Yang dapat dikesani sewaktu di Bagan Pinang, ialah pembangunan yang terbengkalai. Saya tak tahu kenapa banyak projek terbengkalai. Tapi sayang isu ceramah Pas tidak sangat membangkitkan isu ini, melainkan isu Isa Samad didapati bersalah kerana rasuah. Pada mulanya saya anggap isu rasuah ini akan diterima oleh pengundi Bagan Pinang tetapi ternyata meleset kerana rasuah sebenarnya sudah ‘mangli’ kepada penyokong Umno dan rakyat rupanya menghalal isu ini. Alasannya mudah; rasuah ini bukan macam polis trafik terima duit pemandu teksi.


Orang ramai di majlis ceramah Pas


Pejabat DAP di Batu 9 Teluk Kemang menjadi pusat himpunan ceramah waktu malam. Kaget juga apabila melihat orang-orang Cina sangat hebat memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat.

Apapun, kekalahan PAS kali ini bagi saya adalah perkara biasa dan diduga. Tapi sekiranya PAS memang, ia adalah perkara luar biasa kerana;
1. Pas berhadapan dengan pelbagai jentera.
2. Pas lemas dalam aliran belanja BN yang melampau
3. Rakyat menerima penekanan BN dari berbagai sudut.
4. Zulkifli Mohamad Omar berhadapan dengan sebuah kerajaan seperti ‘harimau lapar’ yang mahu membaham apa saja, asalkan dia menang.


Penyokong Pas turut memberi sokongan



Seorang penyokong China di Markas DAP



Lori ini bergerak ke mana-mana meminta pengundi menyokong Pas



Perempuan China ini menjadi perayu undi Pas dari pagi hingga petang


Tapi apa pun perkara yang sangat membanggakan orang Pas mahupun KeAdilan, ialah bagaimana kegigihan orang Pas menghadapi suasana ini, di mana-mana pun. Ini tidak boleh ditandingi. Bagi mereka orang Pas ini, samada datang dari negeri lain atau tempatan, satu sen yang mereka keluar, mereka yakin itu adalah jihad. Selangkah mereka langkah, adalah jihad dan satu kilometer mereka bergerak, adalah jihad. Ini tidak berlaku kepada Umno. Ahli Umno tidak pernah menjadi mesjid tempat ibadah di musim seperti ini. Putri Umno lebih senang bergaya dengan semangat ‘ Jom Heboh’ mereka.


Suami isteri turut membantu menjadi perayu undi



Wanita China juga turut membantu



Adakah risalah begini memberi kesan


Dalam pada itu ramai pemimpin Pas atau yang mengedali strategi pilihanraya, cara dan teknik menggempur, menghadapi lawan tidak menyedari kesalahan-kesalahan sendiri. Saya melihat sepanjang kempen dan ceramah, kesilapan banyak dilakukan oleh pihak PKR yang menjadi tulang belakang membantu Pas menghadapi pelihanraya N 31 ini.

Syamsul Iskandar yang dianggap juara anak muda AMK, rasanya terlampau melebihi had lajunya dalam berceramah. Memang pun sedap bagi selera orang muda, tetapi etika dan adab untuk menarik orang luar, ia sangat ‘kasar’ dan tidak dapat diterima.

Beberapa pemuisi telah menjadikan kehalusan sastera kepada kata-kata maki hamun yang tidak boleh dianggap selesa.

Ada beberapa sebab hal yang sebegini terjadi. Bagi Pas, apabila menghadapi pilihanraya kecil seperti ini, seboleh-bolehnya setiap inci bumi DUN itu hendak diisi dengan ceramah dankempen. Sepanjang tempuh berkempen, Pas tidak mahu mengokongkannya. Manakala tenaga atau petugas yang berkemampuan kurang. Maka ketika inilah Pas menerima siapa saja tawaran bagi membantu mereka, termasuk berpidato, berceramah, kerana di pentas itu diperlukan ada penceramah sehingga jam 12 malam..

Sikap dan pendirian kebanyakan mereka yang memberi nama untuk bercakap, tidak ada pendirian atau sikap hendak memberi kefahaman sesuatu isu, melainkan berhasrat apabila ia berada di atas pentas, niatnya satu: akan dihentam pihak lawan habis-habisan. Maka jadilah seluruh ucapan mereka, ucapan yang menghentam, memaki hamun, merendah-rendah pihak lawan.

Sebagai contoh pada 11 Oktober malam di Pejabat DAP Teluk Kemang, wakil dari Johor telah membaca sebuah puisi yang saya rasa sangat indah puisinya, mantap, kuat. Tetapi oleh kerana puisi yang disedia sebelum itu di’setkan’ atau direncanakan untuk menghentam BN, pemimpin BN/Umno, maka jadilah puisi malam itu puisi yang sangat ‘kurang ajar.’

Memang sedap bagi telinga pengunjung yang menyokong Pas atau PKR atau PR. Tapi bagaimana boleh diangggap sebagai pendekatan yang baik kepada orang Umno/BN atau penyokong mereka?

Pemimpin Pas kena fikir ini. Saya memang berharap kepada orang muda/ pertengahan dalam Pas seperti Dr. Zulkifli, Khalid Samad, Dr. Hatta Ramli, Tantawi dan seluruh jentera muda tidak akan menghimpun sabut-sabut lalu meniup asap-asap seperti yang dilakukan dalam kempen di DUN Bagan Pinang oleh anak muda PKR.


http://aziziabdullah.blogspot.com/

Tiada ulasan: