"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Petronas pecah perjanjian, Kerajaan Persekutuan salahgunakuasa dan pecah amanah

KEMELUT sebenar hak bayaran royalti petroleum cuba dinafikan oleh semua pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) yang menerajui Kerajaan Pusat. Perjanjian yang dimeterai sejak 22 Mac 1975 telah dimungkiri serta dikhianati oleh Kerajaan Persekutuan hanya kerana terdapat kerajaan negeri yang diperintah oleh PAS.

Wartawan Terengganu, KHAIRUL AZLAM MOHAMAD, cuba menyelami serta merungkai persoalan tersebut bersama tokoh yang terlibat secara langsung membuat draf perjanjian tersebut, Tun Mohamad Salleh Abas, yang juga bekas Ketua Hakim Negara.

Pada 5 September 2000, Kementerian Kewangan ketika itu di bawah pemerintahan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa Wang Royalti yang dibayar selama ini ditukar dengan nama 'wang ihsan’, kononnya Kerajaan Negeri tidak ada hak terhadap wang tersebut. Apa komen Tun?

TUN SALLEH ABBAS: Ya kenyataan akhbar tersebut berbunyi, "Sejak tahun 1978 lagi, Kerajaan Persekutuan melalui Petronas telah mengagihkan pemberian 'ihsan' kepada Terengganu.

Ini adalah ekoran dari keputusan Allahyarham Tun Abdul Razak pada tahun 1974 agar Terengganu diberi 'wang ihsan' memandangkan kedudukannya sebagai negeri termiskin ketika itu. Kini, negeri Terengganu bukan lagi negeri termiskin berikutan program-program pembangunan yang dibawa oleh Kerajaan Barisan Nasional".

Kenyataan ini adalah kenyataan yang mendustakan dan memfitnah Allahyarham Tun Abdul Razak. Beliau tidak pernah menyifatkan wang royalti sebagai wang ihsan dan beliau tidak pernah menyifatkan pembayaran royalti kepada Kerajaan Negeri Terengganu sebagai wang ihsan sebab negeri Terengganu sebuah negeri yang termiskin. Ini satu kenyataan bohong lagi dusta.

Jadi, apakah justifikasinya dengan menukar wang royalti kepada wang ihsan?

Persoalan yang timbul dalam siaran akhbar (press release) itu, adalah sama ada rakyat Terengganu terbela atau teraniaya. Semua rakyat Terengganu mesti tertanya-tanya mengenai perkara tersebut.

Mengikut fakta terkini dizahirkan semua rakyat Terengganu mesti tertanya-tanya mengenai perkara tersebut. Mengikut fakta terkini dizahirkan oleh Kerajaan Persekutuan di Parlimen oleh Dato’ Amirsham Abdul Aziz bertarikh 13 Mei 2008 bahawa, royalti negeri Terengganu dahulunya dinamakan wang ihsan dan sekarang dibayar pada suatu dana yang dinamakan 'Dana Khas' dari semenjak bulan Mac tahun 2004 sehingga bulan Mac 2007 pada kadar lima peratus berjumlah RM 7.3 bilion.

Bekas Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Idris Jusoh pula mengeluarkan kenyataan dalam akhbar Sinar Harian bertarikh 15 Mei 2008 menyatakan bahawa kerajaannya hanya menerima RM 1.3 bilion setahun selama 3 tahun. Ini bermakna jumlah yang diterima oleh Kerajaan Negeri hanyalah RM 3.9 bilion.
Oleh itu terdapat perbezaan yang agak ketara sebanyak kira-kira RM 3.4 billion yang tidak diketahui ke mana perginya dan apakah kedudukannya.

Apakah terdapat maklumat lain Tun?

Selain daripada itu, Dato’ Amirsham juga tidak memberi apa-apa kenyataan mengenai pembayaran lima peratus dalam tempoh bulan Mac tahun 2000 hingga Mac 2004. Ke manakah wang ini pergi dan berapakah jumlahnya? Yang patut menjawabnya ialah Kementerian Kewangan dan Jawatankuasa Peringkat Pusat (JPP).

Saya yakin bahawa Petronas telah membayar wang ini kepada Dana Khas. Daripada kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Dato’ Amirsham, royalti yang diterima oleh Kerajaan Terengganu bermula dari tahun 2004 hingga 2007 adalah lebih tinggi jumlahnya berbanding yang diterima oleh Sabah dan Sarawak.

Kerajaan Sabah menerima RM 1.2 bilion dan Kerajaan Sarawak menerima RM 4.8 bilion berjumlah RM 6.0 bilion. Manakala Kerajaan Terengganu pula menerima kira-kira RM 7.3 billion.

Ini bermakna Kerajaan Negeri Terengganu menerima lebihan sebanyak RM 1.3 bilion berbanding jumlah yang diperolehi oleh Sabah dan Sarawak. Kerajaan Persekutuan pula dalam tempoh yang sama menerima daripada operasi Petronas di Negeri Terengganu, Sabah dan Sarawak sebanyak lima peratus itu berjumlah RM 13.4 bilion.

Pada pendapat Tun, ke mana dan bagaimanakah wang tersebut digunakan atau diakaunkan?

Saya yakin wang royalti untuk Negeri Terengganu (wang ihsan) ini tidak boleh dianggap sebagai hasil Kerajaan Persekutuan. Ini adalah kerana sekiranya ia adalah hasil Kerajaan Persekutuan, ia mestilah dibayar masuk ke dalam 'Federal Consolidated Fund'.

Yang mana perbelanjaan dan pengeluaran hendaklah melalui bajet dan Akta Bekalan (Supply Act). Ada kemungkinan besar, wang ini tidak dianggap sebagai hasil kerana ianya dibayar masuk ke dalam satu dana yang dinamakan 'Dana Khas' yang diurus oleh Kerajaan Persekutuan.

Ini bermakna wang ini sebagai wang teras (wang amanah) dan mesti dibayar mengikut cara amanah. Jika tidak, nescaya berlakulah pecah amanah (breach of trust). Setakat ini tidak ada ketelusan, bagaimana wang ini dibelanja dan apakah akaunnya?

Kita juga tidak tahu adakah ianya diaudit oleh Ketua Audit Negara (Auditor General) dan adakah dengan cara ini, hasrat kerajaan Dr. Mahathir semasa mengeluarkan Kenyataan akhbar (press release) pada 5 September 2000 untuk membela rakyat Terengganu tercapai.

Adakah rakyat Terengganu sudah terbela atau sedang teraniaya pada pandangan Tun sendiri?

Apa yang berlaku sekarang adalah rakyat Terengganu telah menjadi lebih miskin, bahkan Negeri Terengganu merupakan negeri kedua termiskin di Malaysia dan negeri termiskin di Semenanjung Malaysia.

Sekiranya wang ini tidak kembali kepada Kerajaan Negeri Terengganu, sampai bila pun rakyat Terengganu tidak akan terbela bahkan akan menjadi lebih teraniaya.

Bagaimanakah bermulanya sejarah pembentukan akta-akta yang berkait dengan royalti tersebut?

Wang royalti adalah hak rakyat Terengganu dan hak kerajaan negeri Terengganu. Hasil Petroleum adalah suatu sumber baru bagi negara ini. Sumber baru bergantung kepada tiga Akta Parlimen iaitu Akta Pelantaran Benua 1963 (Continental Sheft Act 1963), Akta Perlombongan Petroleum 1963 (Petroleum Mining Act 1963) dan Akta Kemajuan Petroleum 1974 (Petroleum Development Act 1974).

Tiap-tiap Akta ini mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Pada awal tahun 1960-an, Presiden Amerika Syarikat, Lyndon B. Johnson telah melawat Malaysia.
Hasil daripada lawatan itu, Allahyarham Tun Abdul Razak telah menasihatkan Kerajaan Malaysia mencari jalan untuk melibatkan kapal perang Amerika Syarikat (US Seventh Fleet) untuk mengawal keselamatan di perairan Laut China Selatan.
Pada masa itu, perang sedang berlaku di Vietnam, Kampuchea dan Laos. Di mana Malaysia sendiri menghadapi ancaman komunis di dalam dan luar negeri.

Teori Domino (Domino Teory) yang dimajukan oleh Setiausaha Luar Amerika Syarikat, John Foster Dullas nampaknya kemungkinan besar akan menjadi kenyataan yang mana tiap-tiap buah negeri di utara akan jatuh satu persatu ke tangan komunis dan akhirnya tinggallah Malaysia dan Singapura.

Adakah kerana perkembangan ini maka dua akta berkaitan diluluskan?

Atas hasrat inilah Parlimen Malaysia meluluskan dua Akta iaitu Akta Pelantaran Benua 1963 (Continental Sheft Act 1963) dan Akta Perlombongan Petroleum 1963 (Petroleum Mining Act 1963). Mengikut kedua-dua Akta ini, mana-mana syarikat yang hendak mencari minyak hendaklah mendapat lesen daripada kerajaan negeri.

Sekiranya, tempat yang hendak dicari itu berada di dalam kawasan perairan negeri (3 batu nautika daripada pantai) meski pun Konvensyen Geneva 1958 telah meluaskan kawasan perairan kepada 12 batu nautika. Kawasan tiga batu nautika ini dikenali dengan nama onshore.

Tetapi sekiranya tempat yang hendak dicari itu berada di luar kawasan perairan pantai, kawasan itu dinamakan Continental Shelf atau offshore.

Maka Lesen hanya dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan. Di bawah kedua-dua Akta ini terdapat beberapa buah syarikat minyak yang termasyur seperti Shell, Esso dan Conoco telah membuat permohonan dan mendapatkan lesen untuk mencari minyak di Continental Shelf (off shore) di dasar Laut China Selatan, iaitu berhadapan sepanjang pantai timur Semenanjung Malaysia.

Benarkah pernah berlaku pergolakkan antara negeri Sarawak dengan Kuala Lumpur mengenai isu hasil petroleum ini?

Sarawak ada mengeluarkan petroleum di atas darat yang diusahakan oleh Syarikat Shell. Syarikat ini telah beroperasi di Sarawak semenjak tahun 1910 di Miri. Shell kemudiannya berjaya mencari dan mengeluarkan hasil minyak di kawasan offshore (Pelantaran Benua).

Sebelum Sarawak menyertai Malaysia, royalti minyak telah dibayar oleh Shell kepada Kerajaan Sarawak sebanyak 100 peratus. Namun setelah Sarawak menyertai Malaysia pada tahun 1963, masalah royalti minyak yang dibayar kepada Sarawak timbul sebagai isu politik yang amat hangat di antara Kuching dan Kuala Lumpur.

Apa pertikaiannya? Boleh Tun jelaskan sedikit?

Sarawak tidak bersetuju menyerahkan sebahagian royalti yang dibayar oleh Syarikat Shell kepada Kerajaan Persekutuan. Manakala Kerajaan Persekutuan mendesak supaya sebahagian daripada royalti itu dibayar kepada Kerajaan Persekutuan kerana setelah Sarawak menyertai Malaysia, kuasa Kerajaan Sarawak tertakhluk kepada Perlembagaan.

Kuasa Kerajaan Sarawak tidak meliputi hal ehwal luar negeri dan hal ehwal pertahanan. Pertelingkahan ini menjadi semakin tegang yang membimbangkan kedua-dua pihak kerana ada kemungkinan integriti Malaysia akan tergugat.

Akhirnya, Allahyarham Tun Ismail Ali, Gabenor Bank Negara dan Tengku Razaleigh Hamzah telah membuat perbincangan dengan Ketua Menteri Sarawak, Tun Abdul Rahman Yaakob.

Di dalam perbincangan itu, saya telah dijemput hadir dan hasil daripada perbincangan itu telah mencapai kata sepakat iaitu demi kepentingan ekonomi dan pembangunan ekonomi Malaysia, satu mekanisma baru mesti diwujudkan.

Apakah mekanisma tersebut dan boleh Tun jelaskan?

Persepakatan dan persetujuan yang dicapai telah dilaporkan kepada Allahyarham Tun Abdul Razak dan beliau telah bersetuju dengan cadangan mekanisma tersebut iaitu; Pertama, hendaklah diwujudkan satu syarikat yang bernama Petronas untuk mengendalikan eksplorasi dan pengeluaran Petroleum.

Kedua, semua kerajaan negeri akan menyerahkan hak-hak kepada Petronas untuk eksplorasi dan mengeluarkan Petroleum samada di onshore atau di offshore.

Ketiga, sebagai balasannya, Petronas akan membayar Bayaran Tunai (Cash Payment) atas kadar yang dipersetujui di antara Petronas dengan negeri-negeri yang berkenaan.

Untuk mengimplementasikan persetujuan ini, satu Akta Parlimen hendaklah diluluskan dan Akta itu ialah Akta Kemajuan Petroleum 1974 (Petroleum Development Act 1974). Yang mana Petronas yang diwujudkan di bawah Akta Syarikat (Companies Act) telah mendapat pengiktirafan dan diberi kuasa oleh Akta Kemajuan Petroleum 1974 (Petroleum Development Act 1974).

Dengan wujudnya, Akta Kemajuan Petroleum (Petroleum Development Act), segala lesen-lesen yang dikeluarkan dibawah Akta Perlombongan Petroleum 1963 (Petroleum Mining Act 1963) terbatal dengan sendiri enam bulan selepas Akta Kemajuan Petroleum berkuat kuasa.

Ini bermakna segala usaha mencari dan memajukan petroleum di Malaysia ini hanya tertakhluk sepenuhnya kepada Akta Kemajuan Petroleum (Petroleum Development Act 1974).

Sejak bilakah Terengganu mula mendapat bayaran royalti dan bukan 'wang ihsan' setelah Petroleum dijumpai di negeri ini?

Pengerusi Petronas yang pertama iaitu Tengku Razaleigh Hamzah telah berjaya mendapat penyerahan hak daripada 13 buah Kerajaan Negeri dan Persekutuan dengan menandatangani perjanjian antara negeri-negeri dengan Kerajaan Persekutuan.

Penyerahan hak yang diserah oleh Kerajaan Negeri Terengganu telah dibuat oleh Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad pada 22 Mac 1975. Perjanjian mengenai bayaran Wang Tunai (Cash Payment) di antara Petronas dengan Kerajaan Negeri Terengganu telah ditandatangani oleh pihak yang sama.

Perjanjian ini tidak hanyalah tertakluk kepada kawasan perairan (onshore) sahaja, malahan meliputi kawasan di luar pantai (offshore). Kadar Wang Tunai ini ditetapkan lima peratus daripada pengeluaran minyak.

Apabila Petroleum dijumpai dan pengeluarannya telah berjaya diusahakan pada tahun 1978, Petronas telah membayar wang tunai kepada Kerajaan Negeri Terengganu.

Sebagaimana yang diperuntukkan oleh Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan perjanjian di bawah akta itu, bayaran tersebut dibuat dua kali setahun iaitu pada setiap Mei dan September.

Apakah Kerajaan Terengganu menyifatkan ini sebagai wang royalti?

Kerajaan Negeri Terengganu dari mulanya telah mengiktiraf bayaran Wang Tunai (Cash Payment) yang diterima tersebut sebagai wang royalti. Dalam ucapan bajet oleh Menteri Besar Terengganu pada setiap tahun menamakan wang tunai tersebut sebagai royalti.

Semua surat-menyurat yang dilakukan juga telah menamakannya sebagai royalti dan bukannya wang ihsan. Penukaran nama wang ini daripada royalti kepada wang ihsan tidak mengubah hakikat undang-undang mengenai wang ini kerana Petronas adalah diwajibkan untuk membayar wang ini kepada Kerajaan Negeri Terengganu dan ianya bukan kepunyaan Kerajaan Persekutuan.

Petronas dari semenjak tahun 1978 telah tetap membayar wang tersebut tanpa gagal. Cuma wang ini tidak dibayar kepada Kerajaan Negeri Terengganu bermula dari tahun 2000 kerana negeri telah diterajui oleh PAS.

Tan Sri Wan Mokhtar telah cuba mempertahankan tindakan Kerajaan Persekutuan dan menafikan wang royalti ini dari dibayar kepada Kerajaan Negeri dengan mengubah nama Wang Tunai kepada Wang Ihsan.

Adakah Tun setuju bahawa penukaran wang royalti kepada 'wang ihsan' merupakan suatu pengkhianatan?

Ya, sebabnya 'wang ihsan' dari segi undang-undang adalah satu pemberian kebajikan yang diberi atas dasar sukarela dan bukannya dipaksa dan diwajibkan di bawah undang-undang.

Penukaran nama ini hanya bertujuan untuk mengaburkan mata dan mengelirukan rakyat, kononnya Negeri Terengganu tidak berhak kepada 'wang tunai' (royalti) itu. Ini merupakan suatu pengkhianatan.

Walau bagaimana pun, Petronas tetap dan terpaksa membayar di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan perjanjian di bawah akta itu. Oleh kerana arahan daripada Kerajaan Persekutuan, royalti telah tidak dibayar kepada Kerajaan Negeri Terengganu namun Petronas membayar wang itu kepada Dana Khas di bawah penyeliaan Kerajaan Persekutuan dan Jawatankuasa Pembangunan Persekutuan (JPP).

Apa alasannya...

Justifikasi penafian hak royalti Rakyat Terengganu tersebut telah dilakukan dengan alasan kononnya petroleum itu dijumpai dan diusahakan di offshore iaitu di luar kawasan tiga batu nautika dari pantai Negeri Terengganu.

Masalah kawasan pantai tiga batu nautika telah diselesaikan oleh Akta Kemajuan Petroleum 1974 yang sekaligus telah menghapuskan lesen-lesen yang dikeluarkan di bawah Akta Petroleum 1963 (Akta ini membahagikan kuasa di antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Negeri berkuasa ke atas kawasan tiga batu nautika dari pantai. Kawasan ini dinamakan onshore. Kerajaan Persekutuan pula berkuasa ke atas kawasan luar daripada tiga batu nautika hingga ke kawasan yang mana kedalamannya boleh dieksploitasi untuk mendapat minyak).

Kawasan ini dinamakan offshore. Akta Perlombongan Petroleum tidak lagi berfungsi apabila Akta Kemajuan Petroleum 1974 dikuatkuasakan.

Salahkah pihak Petronas kerana tidak membayar terus bayaran royalti kepada negeri Terengganu?

Di sini dengan nyata, Petronas telah melakukan pecah perjanjian terhadap Kerajaan Negeri Terengganu kerana tidak membayar royalti atau bayaran tunai seperti mana yang termaktub dalam perjanjian dengan Kerajaan Negeri Terengganu.

Kerajaan Persekutuan pula telah menyalahgunakan kuasa dengan mengarahkan bayaran royalti atau bayaran tunai tidak kepada Kerajaan Negeri Terengganu dan juga telah melakukan pecah amanah kerana telah membelanjakan wang tersebut secara tidak telus dan tidak mendatangkan apa-apa faedah kepada rakyat Terengganu yang dijanjikan terbela dan terjamin.

Akhir sekali, apakah kesimpulan yang Tun dapat kemukakan dalam isu royalti ini?

Bayaran Tunai (Cash Payment) di bawah Akta Petroleum 1974 adalah bayaran yang 'wajib' dibuat oleh Petronas walau atas nama apa sekali pun yang diberi sama ada bernama Royalti, Wang Ihsan atau Dana Khas.

Wang tersebut tetap kepunyaan Kerajaan Negeri Terengganu kerana ia wajib dibayar di bawah Akta Petroleum 1974. Seperti mana yang telah saya nyatakan sebelum ini, 'Wang Ihsan' adalah suatu pemberian yang tidak wajib di mana tiada pihak yang boleh dipertanggungjawabkan. Manakala, Royalti adalah bayaran yang diwajibkan mengikut Akta dan Undang-undang.

-detikdaily.net-

Tiada ulasan: