"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Selangor agihkan RM49 juta melalui dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor

Harakahdaily
SHAH ALAM, 23 Feb:
Kerajaan negeri Selangor telah mengagihkan wang sebanyak RM49 juta kepada rakyat negeri ini melalui program-program di bawah dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Sehubungan itu, satu majlis Semarak MES dianjurkan untuk meraikan dan mengimbas kembali usaha-usaha Kerajaan Negeri membela nasib rakyat melalui program-program kebajikan, yang menjadi teras kepada dasar MES.

Ia akan diadakan pada 23 Febuari (Selasa) jam 8:00 malam di Dewan Seksyen 19, Shah Alam, Selangor.

Majlis akan menemukan lebih 300 orang bakal penerima sumbangan Tabung Anak Warisan Selangor (TAWAS), Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Hadiah Anak Masuk Universiti dan Tabung Pendidikan Anak-anak Pekerja Ladang.

Demikian dinyatakan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Penasihat Ekonomi Selangor semalam. MES adalah projek membahagikan kekayaan ekonomi Selangor kepada rakyatnya yang diusahakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Khalid Ibrahim sejak beliau mula dilantik sebagai MB Selangor hampir dua tahu lalu.

Sejak dilancarkan pada Jun 2008, seramai 111,397 warga emas yang layak telah mendaftar dibawah dasar SMUE untuk menerima bantuan dalam bentuk khairat kematian dengan jumlah peruntukkan Kerajaan Negeri sebanyak RM 20 juta. Setakat ini, seramai 9,780 waris/penama telah menerima sumbangan dari skim ini.

Perlaksanaan dasar TAWAS pula dimulakan sejak 31 Ogos 2008 dan sehingga kini sebanyak 16,927 permohonan telah diluluskan dengan jumlah perbelanjaan mencecah RM 17 juta.

Bagi dasar Hadiah Anak Masuk Universiti, Kerajaan Negeri berjaya mencapai hampir 100% kadar penembusan dengan hampir RM10 juta telah dibelanjakan bagi membantu 9,581 orang pelajar yang layak untuk memulakan pengajian tinggi mereka.

Kerajaan Negeri turut memperuntukan RM2 juta bagi membantu pendidikan anak-anak perkeja ladang yang disalurkan melalui Tabung Pendidikan Anak-anak Pekerja Ladang.


Sejak dilantik sebagai Penasihat Ekonomi Selangor, YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah meluangkan masa menilai dan mengkaji cadangan penambahbaikan program-program kebajikan, termasuk cadangan meluaskan SMUE untuk meliputi perlindungan perubatan percuma untuk warga emas yang sedang diteliti oleh Kerajaan Negeri.

Beliau juga memantau kejayaan program-program kebajikan seperti ini untuk memastikan tidak berlaku keciciran mereka yang berkelayakan.

Tiada ulasan: