"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Negara beragama: Asri syor badan pemantau liberal bantu kerajaan

KUALA LUMPUR, Feb 23: Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang seringkali memberikan pandangan liberal mengesyorkan agar pihak berkuasa membentuk badan pemantau terdiri daripada kalangan cendiakawan Islam yang berfikiran terbuka dan tidak bersifat ortodoksi bagi mengelakkan situasi negara “autokratik agama yang amat menakutkan”.

Menurut Mohd Asri, usaha menerapkan unsur-unsur Islam dalam negara ini merupakan satu usaha baik dan wajar disanjung, tetapi dalam konteks negara moden, proses ini hendaklah dibuat dengan teliti dan berhati-hati.

“Negara beragama adalah tuntutan, tetapi negara autokratik agama amat menakutkan.

“Beberapa pengalaman Pakistan dan Afghanistan yang lepas patut diteliti. Maka, badan pemantau kepada perkembangan ini yang terdiri dari cendiakawan-cendiakawan Muslim yang terbuka dan tidak sifat ortodoksi perlu diwujudkan untuk memberi pandangan balas kepada kerajaan,” kata bekas mufti yang liberal ini dalam tulisan blognya berkaitan dengan hukuman sebat wanita di Penjara Kajang awal bulan ini.

Malah beberapa tulisan beliau sebelum ini juga pernah menyentuh aspek ini dengan meminta majlis-majlis agama negeri dan agensi agama persekutuan juga menerima pandangan daripada golongan bukan fundamentalis.

Dalam tulisannya kali ini kata beliau, hukuman sebatan “bukan sahaja perlu adil, tetapi juga perlu kelihatan adil” kerana masyarakat akan memandang serong terhadap setiap hukuman yang hanya menghukum anak bilis dan membiarkan jerung.

“Maka, bukan sahaja peminum arak patut dihukum, tetapi taukeh-taukeh atau mereka yang terlibat dalam pengedaran arak dalam kalangan umat Islam patut dibawa ke pengadilan.

“Ini termasuk mana-mana individu Muslim yang memegang saham-saham arak dalam negara ini. Empunya pusat-pusat hiburan yang menggalakkan aktiviti tidak bermoral ini mestilah dibawa ke pengadilan.

“Maka pihak berkuasa agama hendaklah jujur dengan rakyat, dan berani membawa empunya, atau pemegang-pemegang saham arak dan judi yang membabit individu Muslim sekalipun ‘kelompok yang dianggap kebal’ dalam negara ini,” katanya.

Mohd Asri juga berkata kecenderungan Islam bukanlah menghukum tetapi mendidik.

Jika terdapat jalan keluar agar mereka tidak dihukum disebabkan maksiat peribadi, maka itulah yang paling utama, katanya.

“Banyak rakaman-rakaman yang tersiar dalam internet yang menunjukkan bagaimana operasi ‘tangkap khalwat’ begitu kejam dan sengaja mendedahkan keaiban mangsa.

“Ini seperti diambil gambar mangsa dalam keadaan bogel, disuruh mangsa mempamerkan pakaian dalamnya kepada kamera dan seumpamanya.

“Pegawai-pegawai yang terbabit dalam operasi yang seperti ini hendaklah diambil tindakan kerana mencemarkan maruah agama yang mulia ini dan maruah orang lain,” tambah beliau.

Beliau juga berkata gambaran bahawa negara ini kerap menghukum wanita juga perlu dielakkan.

“Apakah mereka melakukan kesalahan bersendirian? Amat membimbangkan, imej Islam yang sering dikaitkan media Barat dengan Malaysia akan menyebabkan mereka menyangka ini merupakan cara Islam yang selalu menghukum wanita, dan tidak pula menonjolkan hukuman terhadap lelaki yang terbabit.

“Maka, hukuman terhadap lelaki-lelaki yang terbabit juga hendaklah diumumkan dengan jelas dan media diminta menyiarkannya bersama,” katanya.

Mengenai pendirian beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengkritik pelaksanaan hukuman sebatan, beliau berkata, mereka hendaklah berhati-hati.

“Jika mereka Muslim, mereka hendaklah memastikan dalam diri mereka; apakah mereka membantah hukuman Islam yang asal, atau pelaksanaan semasa?

“Jika mereka membantah hukuman asal, maka itu memberi implikasi akidah mereka. Jika mereka membantah pelaksanaan semasa, mereka hendaklah tumpukan kepada proses pelaksanaan semasa sahaja, jangan dipertikaikan hukuman Islam asal yang adil yang ada dalam al-Quran dan al-Sunah.

“Begitu juga bukan Muslim, jangan mereka mempertikaikan al-Quran dan Nabi orang Islam, itu boleh menimbulkan ketegangan dan huru-hara dalam negara yang harmoni ini,” katanya lagi.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: