"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Husam: Iklan penjelasan kelirukan, pusat wajar betulkan pendirian

Mohd Zuharman

KOTA BARU, Feb 23: Dalam jawapan balas susulan iklan mengenai isu tuntutan royalti minyak disiarkan kerajaan pusat kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Petroleum Kelantan, Datuk Husam Musa memberitahu, penjelasan itu “amat mengelirukan” dan menggesa kerajaan pusat membetulkan pendiriannya segera.

Husam (gambar) merujuk kepada Akta pembangunan Petroleum (PDA) 1974 mengenai tadbir urus petroleum terhadap negeri-negeri yang terdapat hasil pengeluaran minyak antaranya Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan.

“Di bawah akta inilah perjanjian dengan negeri-negeri dilakukan.

“Dan perjanjian ini adalah sama. Tidak ada akta yang berbeza. Akta tersebut ialah Akta Kemajuan Petroleum 1974,” kata beliau pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Ahad lepas kerajaan pusat mengiklankan penjelasan isu tuntutan hasil petroleum Kelantan dengan menyasarkan pendirian Ketua Umno Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dan juga Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam iklan satu halaman yang disiarkan di Berita Minggu, Mingguan Malaysia dan Sinar Harian itu, kerajaan pusat mendakwa kenyataan Tengku Razaleigh berhubung isu bayaran royalti kepada Kelantan hanya perlu dilihat sebagai pendapat peribadi beliau semata-mata.

Oleh itu, kerajaan pusat berkata sebarang keputusan yang diambil berkenaan hak pembayaran royalti perlu dibuat berasaskan peruntukan undang-undang yang berkaitan serta perjanjian-perjanjian yang ditandatangani di antara Petronas dengan kerajaan-kerajaan negeri.

Iklan penjelasan itu diterbitkan oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menjawab lapan isu termasuk pendirian bekas pengerusi dan pengasas Petronas itu dan Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat.

Mengenai isu pertama “Apakah istilah yang disebut dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974 mengenai pembayaran hasil minyak dan gas?”, penjelasan itu berkata:

“Istilah yang diguna pakai bagi maksud pembayaran tersebut adalah bayaran tunai sebanyak lima peratus dan perkataan royalti tidak digunakan dalam mana-mana istilah akta berkenaan,” kata kerajaan pusat dalam iklan penjelasan itu.

Oleh itu, Husam tidak bersetuju dengan jawapan yang diberikan memandangkan kesemua 13 perjanjian dan 13 Geran Penyerah Hak menggunakan istilah “bayaran tunai kepada kerajaan negeri berkenaan.”

Kata beliau, perkataan yang popular digunakan oleh semua pihak ialah “royalty”, malah tidak ada yang berubah mengenai bentuk pembayaran iaitu bayaran tunai kepada kerajaan negeri.

“Istilah-istilah yang digunakan dalam PDA, 13 perjanjian dan 13 Geran Penyerah Hak adalah merangkumi onshore (daratan) dan offshore (luar pantai) untuk maksud petroleum yang dihasilkan di daratan dan di lautan.

“Tiada dinyatakan sama sekali sama ada dalam PDA 1974, 13 perjanjian dengan negeri-negeri mahupun 13 Geran Penyerah Hak tentang sekatan hak setiap negeri untuk menerima bayaran tunai bagi pengeluaran petroleum di luar pantainya berdasar kepada jarak dari pantai,” katanya.

Sehubungan itu Husam turut mempertikaikan ukuran jarak yang tidak pernah termaktub dalam PDA yang dijadikan alasan oleh kerajaan persekutuan dalam menafikan hak royalti kepada Kelantan.

“Oleh itu berdasarkan fakta tersebut maka tidak timbul sama ada jarak 12 batu, 200 batu atau jarak lain daripada pantai untuk penafian tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut hujah diguna oleh kerajaan pusat dalam iklan tersebut, Husam berkata, iklan penjelasan itu bersandarkan pada akta yang telah dimansuhkan.

“Seksyen 13 (1) Akta Darurat Kuasa-kuasa Perlu 79 telah pun memansuhkan penggunaaan pemakaian ordinan darurat kuasa-kuasa perlu 1969.

“Jadi saya hairan macam mana akta yang telah dimansuh dijadikan hujah oleh Kementerian penerangan kerajaan Malaysia.

“Kami harap kerajaan Malaysia dapat membetulkan semula pendirian mereka secepat mungkin supaya tidak menimbulkan kekeliruan yang berpanjangan,” ujarnya.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: