"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Husam Pengerusi Jawatankuasa Khas Royalti Minyak

Pakatan Rakyat bersetuju melantik Datuk Husam Musa sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas berhubung isu royalti petroleum di empat buah negeri pengeluar minyak.

“Pakatan Rakyat bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa petroleum, melihat kepada keseriusan isu ini. Betapa banyak sumber negara diambil oleh Pusat dan hak negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak dinafikan. Maka kita cadang untuk melantik Datuk Husam Musa mempengerusikan jawatankuasa khas bagi pihak Pakatan Rakyat," kata Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

“Dalam pada itu juga, kita akan tetap akan turun dan jelaskan kepada rakyat bagaimana hak mereka dirompak oleh pemerintah, kerana kita takut dana yang sudah kurang sekarang ini tidak dibelanjakan untuk rakyat bawahan," tegas beliau.

Menyentuh isu yang sama, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membidas Umno kerana memutar belit dan menggambarkan Kelantan seolah-olah meminta sedekah.

Bahkan Hadi berkata perkataan royalti telahpun wujud sejak dahulu lagi namun ia ditukar kepada wang ehsan.

“Bahkan setiap belanjawan yang dibentangkan samaada dahulu semasa Datuk Seri menjadi Menteri Kewangan, perkataan royalti itu digunakan dengan rasmi oleh kerajaan. Jelas bahawa tindakan menafikan perkataan ini wujud, lebih dari itu menukarnya kepada wang ehsan seolah-olah negeri meminta sedekah," tegas Hadi.

"Walhal wang tersebut bukan hak dia. Ini satu tindakan yang rakus, dari nafsu yang bercanggah dengan prinsip Persekutuan dan perjanjian yang sepatutnya dihormati," tambah beliau.
-tvselangor-

Tiada ulasan: