"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pilihan raya ke 13 sudah hampir

Zulkifli Sulong
Selepas Kelantan dan Pulau Pinang diserang bertubi-tubi, kini giliran pimpinan PAS pula yang diserang. Serangan ini pula betul-betul permainan media kerana lain yang dikatakan oleh pimpinan PAS, lain pula yang disiarkan oleh media.

Yang menjadi sasaran nampaknya adalah Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan terbaru Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Kalau selama ini Bernama agak dilihat profesional dalam membuat laporan manakala akhbar Sinar Harian nampak sedikit adil dalam menyiarkan laporan untuk Pakatan Rakyat. Namun, kedua-duanya ada agenda tersendiri dan datang dengan nada yang sama, pecahkan PAS dan Pakatan Rakyat.

Berita Bernama yang melaporkan kononnya Presiden PAS, Abdul Hadi membantah campurtangan Australia dalam isu perbicaraan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, nampak sangat cuba untuk melagakan Presiden PAS itu dengan para penyokong Anwar.

Ini kerana, kalau diperhatikan, jelas Abdul Hadi ketika ditanya oleh wartawan adakah beliau membantah campurtangan Australia, Abdul Hadi menjawab tidak.

Saya kutip balik transkrip perbualan antara wartawan dan Abdul Hadi pada 19 Februari lalu di Kuala Terengganu:-

Wartawan: "Datuk Seri, ekoran campur tangan Australia, ada kemungkinan atau tidak PAS mengambil langkah membuat bantahan?"

Abdul Hadi: "Itu kita belum lagi membuat keputusan dan kita kena kaji dahulu, kita lihatlah. Sebabnya, dalam masa yang sama kita rasa malu nak bantah orang campur tangan jika kita sendiri ada keaiban. Cara yang lebih berkesan ialah kita memperbaiki diri kelemahan kita sendiri. Itu cara yang tepat. Dan kita kena siasat secara adil terhadap diri kita sendiri. Sebabnya, Islam mengharamkan kita membela kezaliman walau pun dari kalangan puak kita sendiri, negara kita sendiri. Konsep keadilan Islam adalah sejagat."

Memang menjadi sikap PAS menolak sebarang campurtangan asing ke atas negara ini sebagai sebuah negara yang berdaulat. Tetapi dalam masa yang sama, adakah kenyataan dan memorandum anggota Parlimen Australia dan ucapan pemimpin mereka meminta Malaysia mengkaji balik dakwaan ke atas Anwar itu campurtangan atau tidak.

Namun, sebagaimana dikatakan Abdul Hadi, kalau sistem keadilan kita sendiri sudah lemah, sudah tentu ada campurtangan asing.

Selepas menyiarkan Abdul Hadi membantah campurtangan Australia, akhbar Sinar Harian hari ini menyiarkan pula kenyataan Nik Aziz menyokong kenyataan para MP Australia itu. Berita muka depan bertajuk "Agenda halang Anwar" itu kelihatan positif kepada Pakatan Rakyat namun ia mempunyai racun yang berbisa.

Kenapa? Bagi saya kerana akhbar berkenaan mahu menonjolkan perbezaan pendapat dua tokoh besar PAS iaitu Abdul Hadi dengan Nik Aziz. Sebelum ini, Abdul Hadi 'bantah' sekarang Nik Aziz 'sokong'. Padahal jelas, Abdul Hadi juga berkata dia tidak bantah. Yang mengatakan Abdul Hadi bantah adalah media.

Akhbar Sinar Harian mula diterbitkan di Kelantan. Apabila ia diterbitkan, para penyokong PAS di Kelantan bagaikan dituba dengannya apabila masing-masing berebut-rebut membeli dan memuji akhbar itu apabila berita-berita mereka disiarkan.

Namun, menjelang pilihan raya 2008, tiba-tiba meletup Nik Aziz membuat kenyataan "Saya haramkan akhbar ini masuk ke pejabat saya". Ia berlaku selepas akhbar berkenaan membuat serangan yang bukan-bukan terhadapnya termasuk menyiarkan laporan apa yang belum berlaku lagi dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Hari ini, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membidas akhbar Sinar Harian, semalam (21 Februari) kerana menyiarkan berita yang tidak tepat terhadapnya.

Katanya, berita nasional di muka surat N7 dengan tajuk besar ‘Saya kini dalam dilema’ dan sub tajuk ‘kesal dianggap ‘tangan ghaib’ PAS, punya kuasa singkir pesaing; Tuan Ibrahim’ , sebagai tidak tepat dan tersasar.

Menurutnya, laporan akhbar berkenaan bukan sahaja tidak betul, malah memasukkan kenyataan palsu yang direka-reka.

“Saya tidak menyebut perkataan sebagaimana yang disiarkan, lebih-lebih lagi kenyataan kononnya saya berada di dalam dilema, saya tidak berada di dalam dilema pun,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyurat Badan Perhubungan PAS Pahang di pejabatnya, dekat sini, semalam.

Akhbar berkenaan menyiarkan berita kononnya beliau berada di dalam dilema kerana ada pihak yang melabelkannya sebagai ‘tangan ghaib’ yang mempunyai kuasa menyingkir sesiapa sahaja termasuk pesaingnya pada pemilihan jawatan parti.

Sebelum ini, akhbar Umno, Utusan Malaysia juga membuat berita yang jauh sama sekali dari konteks sebenar apa yang dicakapkan Abdul Hadi. Berita itu berbunyi "Umno mula alami perubahan yang baik - Hadi"

Akhbar Umno jelas mengambil kenyataan itu dalam konteks yang salah ketika menyiarkan berita itu dalam keluarannya semalam, 18 Februari.

Jelas ia semacam bertujuan untuk melagakan Abdul Hadi dengan para pemimpin PAS yang lain kononnya Abdul Hadi bersedia untuk bekerjasama dengan Umno termasuk dalam isu perkongsian kuasa dan kerajaan perpaduan, iaitu tema yang selalu diperkenakan terhadap Abdul Hadi.

Di Pulau Pinang sebelum ini, Lim Guan Eng diserang bertubi-tubi. Sasarannya adalah memencilkan beliau dari orang Melayu yang sensitif dengan Islam khasnya pimpinan dan penyokong PAS. Ia juga bersifat 'double edge' atau gergaji mata dua...tarik makan, sorong pun makan.

Apabila pimpinan PAS membela Lim Guan Eng, mereka akan menyerang PAS sebagai kuda tunggangan DAP. Apabila PAS tidak membela, Lim Guang Eng akan terasing. Namun, sebagaimana biasa para pimpinan PAS tidak memikirkan hal itu sangat, bagi mereka yang benar perlu dibela dan semangat setiakawan sangat menebal di kalangan pimpinannya. Lalu mereka berbondong-bondong membela Lim Guang Eng dan kadang-kadang dilihat sebagai berlebihan. Lalu Umno pula berkata, memang sah PAS kuda tunggangan DAP sebagaimana fitnah yang dikenakan ke atas Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin di Perak.

Semua ini bagi saya hanya bunga-bunga atau tanda-tanda pilihan raya sudah dekat. Jadi bersedialah menghadapi pilihan raya yang akan penuh dengan permainan media kerana bunga-bunganya sudah jelas kelihatan.

Tiada ulasan: