"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Israel mahu musnahkan Masjid Al-Aqsa

Rusuhan yang melanda Baitulmaqdis bulan ini dihangatkan lagi dengan pelbagai khabar angin mengenai usaha Israel untuk memusnahkan Masjid Al-Aqsa yang menjadi tempat suci ketiga umat Islam.

Namun, ketegangan semakin meruncing di sekitar kawasan Kota Suci dan tidak mustahil keganasan akan berlaku sekali lagi. Situasi terkini yang berlaku itu dilihat kian menyukarkan usaha damai yang cuba dibawa Amerika Syarikat (AS) di bawah pimpinan Presiden Barack Obama.

Keganasan yang tercetus pada 16 Mac lalu, terburuk pernah melanda Baitulmaqdis sejak beberapa tahun lalu, berpunca daripada pembukaan semula sebuah kuil purba Yahudi.

Ini diburukkan lagi dengan khabar angin yang menyatakan pembinaan kuil itu adalah sebahagian daripada rancangan golongan pelampau Yahudi untuk memusnahkan Masjid Al-Aqsa.

Namun, kemarahan penduduk Palestin sebenarnya sudah lama memuncak sejak beberapa bulan lalu apabila pendatang haram Yahudi menceroboh wilayah mereka.

Kerajaan Israel pula berterusan mengetepikan tekanan antarabangsa supaya membekukan pembinaan di wilayah Palestin yang dicerobohi.

Bagi penduduk Islam, sebarang perubahan dalam status pemilikan kawasan Masjid Al-Aqsa adalah isu yang sangat sensitif.

Bagaimanapun, penganut Yahudi turut menuntut hak sama dengan mendakwa kawasan sekitar masjid tersebut adalah bekas tapak Kuil Kedua yang dimusnahkan oleh askar Rom pada 70 Masihi.

Beberapa kumpulan pelampau Yahudi berikrar untuk membina Kuil Ketiga di tapak berkenaan untuk memenuhi ramalan yang tertulis dalam kitab agama itu.

Seorang penduduk Palestin yang membesar di Baitulmaqdis, Ishaq al-Qawasmeh menganggap rancangan Israel untuk membina kuil Yahudi dalam kawasan Masjid Al-Aqsa itu sebagai ancaman sebenar.

“Jika anak saya sudah tiada atau jika dia syahid, saya masih ada peluang memiliki anak lagi. Tetapi, saya hanya ada satu Al-Aqsa,” katanya.

Ishaq adalah antara ramai penduduk Palestin yang percaya bahawa pembukaan kuil purba itu bertujuan menghapuskan Masjid Al-Aqsa.

Israel ketika ini diketahui umum sudah lama menggali terowong bawah tanah di sekitar kawasan Kota Suci.

“Baitulmaqdis ada di atas dan di bawah tanah. Terdapat jaringan luas terowong dan sasarannya adalah Al-Aqsa,” kata Ishaq.

Israel menolak sebarang dakwaan teori konspirasi dengan menegaskan tidak banyak gerakan cari gali arkeologi dilakukan di sekitar Bailtumaqdis.

Namun, reaksi Israel itu tidak mampu meyakinkan keluarga Alaa Al-Zorba, di mana rumah mereka terhimpit antara tembok luar dan Ohel Yitzak, satu lagi kuil Yahudi yang dibina semula.

Alaa mendakwa pembinaan kuil tersebut dibiayai jutawan Yahudi AS, Irving Moskowitz yang menyokong kuat penempatan Israel di Baitulmaqdis Timur.

“Saya sudah menyaksikannya dengan mata sendiri. Mereka menggali terowong di bawah kuil itu yang bersebelahan rumah saya. Mereka mahu memasuki Al-Aqsa kerana mereka adalah pelampau,” kata Alaa.

Ibu kepada Alaa, Salwa kemudian menunjukkan keretakan di dinding rumah mereka akibat terowong yang digali.

“Kami sudah membaiki siling dan dinding pada empat tahun lalu. Tetapi kerosakan berlaku semula dalam tempoh tidak sampai setahun. Rumah kami dimasuki air setiap kali hujan.

“Pada malam hari, kami dapat mendengar mereka sedang menggali terowong di bawah rumah. Bunyinya sangat kuat,” katanya.

Pihak Berkuasa Arkeologi Israel berkata, kerja-kerja menggali di sebalik kuil abad ke-19 itu, yang dibina semula pada 2008, adalah sebahagian daripada usaha membongkar kesan peninggalan arkeologi.

“Ini tidak menyebabkan kerosakan kepada rumah mereka (Alaa),” kata pihak berkuasa.

Israel menuduh pemimpin Palestin sebagai punca kekecohan yang tercetus pada 16 Mac lalu apabila beratus-ratus belia memenuhi jalan raya dan bertempur dengan pasukan keselamatan rejim.

Namun, kenyataan biadab Tel Aviv itu dikecam hebat oleh semua pihak berkuasa Palestin dari pelbagai parti politik.

Hamas, yang menguasai Gaza, menggesa penduduk Palestin bangkit melancarkan intifada, iaitu gerakan bersenjata menentang pencerobohan Zionis.

Bagi penduduk Palestin, pembinaan semula kuil purba itu adalah sebahagian daripada siri penempatan haram terbesar Yahudi yang semakin meluas di Baitulmaqdis Timur.

Wilayah Palestin itu dirampas Israel semasa Perang Enam Hari 1967 dalam satu gerakan yang tidak pernah diiktiraf masyarakat antarabangsa.

Israel menganggap keseluruhan Baitulmaqdis sebagai ibu kota negara Yahudi buat selama-lamanya dan tidak dapat dipisahkan.

Sebaliknya, Palestin bertegas untuk menjadikan kawasan Kota Suci itu sebagai ibu kota negara Palestin merdeka.

Beberapa hari sebelum rusuhan tercetus, Israel mengumumkan pembinaan 1,600 unit rumah baru di penempatan Ramat Shlomo dalam Baitulmaqdis Timur.

Pengumuman dibuat Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu itu ternyata menimbulkan kemarahan Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang dipimpin Presiden Mahmoud Abbas.

Ia turut menjejaskan hubungan diplomatik Tel Aviv-Washington.

Namun, kemuncak kemarahan penduduk Palestin tidak dapat ditahan lagi apabila Israel mengumumkan pembukaan semula kuil purba Yahudi.

Ini mungkin disebabkan pengumuman mengenai pembinaan penempatan haram Yahudi di Baitulmaqdis Timur sudah menjadi isu biasa di kawasan itu.

Namun, Masjid Al-Aqsa adalah kawasan suci dan satu-satunya hak milik terakhir yang mesti dipertahankan oleh penduduk Palestin dan penganut Islam.

“Palestin adalah Baitulmaqdis dan Baitulmaqdis adalah Al-Aqsa. Jika Al-Aqsa tiada, kami tidak akan ada negara,” kata Alaa.

-SinarHarian-

Tiada ulasan: