"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

RM4 juta bantu pelajar sekolah Tamil

Harakahdaily
KLANG, 9 Mac:
Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor menyediakan RM4 juta bagi membantu anak-anak yang belajar di sekolah-sekolah Tamil seluruh negeri, kata Pengerusi Tetap Jawatankuasa Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatian negeri, Dr Xavier Jayakumar.

Katanya, semenjak dua tahun Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan negeri, kerajaan begitu komited dan sangat mengambil berat untuk menyediakan keperluan prasekolah bagi kemudahan dan keselesaan anak-anak dalam menimba ilmu pengetahuan terutamanya di kalangan masyarakat India.

Menurutnya, dari rekod dan statistik yang diperolehi dari Tamil Foundation dan NGO pendidikan yang lain jelas menunjukkan bahawa anak-anak kalangan masyarakat India jauh ketinggalan dalam mendapatkan pendidikan awal di peringkat prasekolah sebelum mereka memasuki alam persekolahan.

“Lantaran itu kita melihat bahawa seramai 42 peratus pelajar tahun satu yang memasuki Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil tidak tahu membaca dan menulis kerana kebanyakan dari mereka tidak pernah berpeluang pergi ke tadika sebelum memasuki Tahun Satu,” ujarnya pada majlis perasmian Tadika Rakyat Taman Sentosa dekat sini, semalam.

Majlis perasmian tadika yang berharga RM300,000 itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr Halimah Ali. (Gambar)

Katanya, masalah itu berlaku bukan sahaja kerana kekurangan kemudahan dan infrastruktur tetapi juga kerana masalah kewangan yang dihadapi oleh kebanyakan keluarga yang berpendapatan rendah tidak mampu menghantar anak ke tadika prasekolah swasta.

Menurutnya lagi, berdasarkan feedback dari pelbagai pihak yang prihatin tentang tahap pendidikan awal anak-anak di kalangan masyarakat India, kerajaan negeri mengambil pedekatan yang proaktif untuk menyediakan infrastruktur bangunan bagi tujuan menempatkan tadika prasekolah tersebut.

Setakat ini, katanya kerajaan negeri telah mengenal pasti beberapa lokaliti yang mempunyai kepadatan penduduk di kalangan masyarakat India yang berpendapat rendah dan kelas pertengahan yang memerlukan pusat-pusat tadika dengan harga yang rendah dan berpatutan.

“Bangunan tadika prasekolah yang sedia ada ini merupakan satu mercu tanda kebanggaan dalam sistem pendidikan kita. Sejarah sedang diukir di mana kerajaan negeri komited menyediakan pusat tadika prasekolah dengan harga yang berpatutan dan dikendalikan oleh pihak-pihak yang peka dan prihatin terhadap masa depan anak-anak masyarakat India,” ujarnya yang juga Adun Seri Andalas.

Tiada ulasan: