"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kerajaan Perpaduan: Harussani dijemput berforum

Harakahdaily
IPOH, 10 Mac:
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dijemput kepentas forum anjuran Dewan Pemuda PAS Perak bagi menjelaskan isu penubuhan kerajaan perpaduan di Perak yang dibangkitkan beliau sebelum ini.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Perak, Salman Saleh berkata Harussani boleh menetapkan tarikh, tempat dan masa mengikut kesesuaian jadual beliau bagi memastikan program itu dapat diadakan.

Manakala PAS jelasnya akan menampilkan Mursyidul Am Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan bekas Pesuruhjaya PAS Perak Ahmad Awang sebagai panel.

Kedua-dua mereka adalah individu yang disebut Harussani sebagai terlibat secara langsung dalam perbincangan pembentukan kerajaan perpaduan itu.

"Bagi bersikap adil, Tan Sri Harussani boleh menjemput seorang lagi panel daripada UMNO untuk bersamanya di dalam forum tersebut, " katanya.

Tan Sri Harussani Zakaria dalam program dialog Zaaba di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) awal minggu lalu, mendakwa PAS Perak angkuh kerana menolak cadangan pembentukan kerajaan perpaduan dengan Umno bagi membentuk kerajaan negeri.

Sehubungan itu kata Salman, forum tersebut adalah medan terbaik untuk Harussani berhujah bersama kepimpinan PAS bagi menjelaskan perkara sebenar kepada rakyat.

"Pemuda PAS Perak berharap Tan Sri Harussani akan menerima pentas forum ini untuk menjelaskan sepertimana yang di dakwanya," tambahnya.

Tiada ulasan: